Ad

Sunday, 11 September 2016

DIEGO LOPEZ DE SEQUIRA TIBA DI MELAKA

Pada hari ini 11.09.1509 Diego Lopez De Sequira telah tiba di pelabuhan Melaka dengan rombongan kapalnya. Ini merupakan pertama kali dalam seiarah Melaka orang bangsa Eropah tiba di kota itu. Dan dengan ini juga bermulalah kedatangan Portugis ke Melaka yang kemudiannya menawan dan memusnahkan pusat perkembangan Islam dan perdagangan di rantau Melayu ini. Rombongan angkatan laut itu disertai oleh lima buah kapal armada Portugis. Ketibaan rombongan Lopez De Sequira   telah disambut baik oleh pedagang-pedagang Cina yang ada di situ.  Setelah berlabuh di pelabuahan Melaka lalu Lopez De Sequira telah menghantar jurubahasanya untuk ke darat untuk menyatakan maksud kedatangan mereka. Jurubahasa itu telah disambut dengan meriahnya, dan Bendahara telah bersetuju untuk bertemu dengan Lopez De Sequira. Rombongannya diarak dengan gajah kerajaan dan segala kebesarannya ke Balai Penghadapan. Setelah mengadakan berbagai-bagai sambutan dan bertukar-tukar persembahan kedua-dua belah pihak telah bersetuju mengadakan perjanjian persahabatan dan perdamaian. Dalam perjanjian itu kedua-dua pihak bersetuju bahawa Sultan Melaka membenarkan dibina rumah-rumah untuk Raja Portugal di Melaka, membina gudang dan memberi jaminan keselamatan ke atas barang-barang. Semua kapal-kapal Portugis hendaklah dimuatkan barang-barang dagangan terlebih dahulu kemudiannya barulah dimuatkan ke atas kapal-kapal lain dan semua rempah-ratus serta candu yang diperdagang hendaklah dijual berdasarkan kepada harga tempatan. Bagaimanapun ketibaan rombongan Portugis yang diketuai oleh Lopez De Sequira ini amat dicurigai oleh pedagang-pedagang Islam Arab dan India. Mereka telah berpengalaman dengan sikap orang-orang Portugis ini di Timur Jauh dan di India yang sentiasa mengancam perdagangan mereka. Oleh itu mereka menasihatkan Bendahara supaya bertindak ke atas orang-orang Portugis ini.

SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/

No comments:

Post a Comment