Ad

Saturday, 10 September 2016

MICR catat sejarah

 
GHAZALE (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian penganjur pada sidang media Program MICR di Bukit Katil.
Nor Shafinaz Sari
sukan@hmetro.com.my

Melaka: Seramai 3,000 peserta tempatan dan antarabangsa dijangka menyertai Program Kayuhan ‘Melaka International Century Ride’ (MICR) 2016 yang bakal berlangsung di sekitar negeri ini, 30 Oktober depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri Datuk Ghazale Mohamad berkata, kira-kira 2,400 penyertaan sudah diterima setakat ini termasuk 700 dari luar negara.


Beliau yakin program kayuhan yang dianjurkan buat kali ketiga itu mampu mencapai sasaran ditetapkan berikutan sambutan diterima tahun lalu sangat baik iaitu seramai 2,900 peserta sehingga mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara kayuhan yang mendapat penyertaan paling ramai.

“Kayuhan santai sejauh 160 kilometer (km) bermula di Stadium Jasin itu akan melalui tiga daerah di negeri ini sebelum kembali semula ke Stadium Jasin untuk menamatkan kayuhan.

“Ada dua kategori kayuhan diperkenalkan kali ini iaitu kayuhan santai sejauh 160 km dan perlumbaan ‘fun ride@challenge’ sejauh 80 km, namun terhad kepada kepada 300 peserta saja,” katanya pada sidang media sempena penganjuran MICR 2016 di Bayou Lagoon Park Resort, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Shadan Othman dan Pengurus Besar Bayou Lagoon Park Resort Datuk Marco Seow.

Ghazale berkata, program itu menyediakan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 dan majlis pelancarannya akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron di Stadium Jasin.

Menurutnya, penganjur utama MICR 2016 adalah Myskillmedia Sdn Bhd dengan kerjasama MPJ, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tourism Malaysia, Tourism Melaka dan Bayou Lagoon Park Resort.

“Sebanyak empat kategori penyertaan ditawarkan iaitu terbuka lelaki dan wanita kepada peserta berusia 19 hingga 34 tahun, veteran lelaki (junior) untuk peserta berusia 35 hingga 45 tahun dan veteran lelaki (senior) bagi mereka yang berusia 46 tahun ke atas.

“Kita berharap program kayuhan ini akan membantu kepada penambahan pelancong yang datang ke Melaka seterusnya mencapai sasaran 16.5 juta pelancong ke sini sepanjang tahun ini,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:58 AM

No comments:

Post a Comment