RABU, 7 SEPTEMBER 2016 @ 6:38 PM
KETUA jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin SOLO: Belum ada keserasian dalam kalangan pemain, selain benteng pertahanan sering melakukan kesilapan adalah antara punca kekalahan skuad Harimau Malaysia kepada Indonesia, malam tadi.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berkata keadaan itu mungkin disebabkan barisan pemain negara belum dapat menampilkan semangat berpasukan yang baik kerana pasukan itu baru sahaja dibentuk. "Saya akui pada separuh masa pertama, benteng pertahanan sering melakukan kesilapan dan membuka ruang kepada pasukan tuan rumah menyumbat masuk tiga gol," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ini adalah perlawanan antarabangsa pertama bagi Indonesia setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) digantung setahun oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran campur tangan kerajaan dalam badan induk sukan negara itu. Indonesia memilih Malaysia sebagai pembuka aksi antarabangsa pertamanya di Stadium Manahan di sini, sebagai persiapan menghadapi Piala AFF, November depan.
Pada perlawanan tersebut, Indonesia mengalahkan Malaysia 3-0 dan ketiga-tiga gol dijaringkan pada separuh masa pertama, dengan jaringan pertama seawal minit keenam, diikuti dua gol lagi selang beberapa minit kemudian. Kim Swee berkata berdasarkan penilaiannya pada perlawanan itu, beberapa pemain mungkin digugurkan, dan beliau terpaksa mencari pengganti dalam masa yang terdekat memandangkan Piala AFF akan bermula tidak lama lagi.
Beliau berkata perlawanan itu adalah untuk menilai barisan pemain yang terpilih, dan berharap dapat menggunakan khidmat pemain baharu atau pemain senior untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan. "Kita masih ada masa dan masih boleh melakukan sesuatu," katanya. Skuad kebangsaan yang diketuai Mohd Amri Yahyah gagal menampilkan permainan kemas dalam perlawanan itu, selain benteng pertahanan sering melakukan kesilapan, manakala jentera serangan pula gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol. Pasukan kebangsaan juga dilihat beraksi dalam keadaan tertekan apabila tidak henti-henti diejek oleh lebih 25,000 penyokong tuan rumah sejak awal permainan, termasuk mereka bersorak terhadap pemain negara dengan "Upin Ipin kalah, kasihan dia", sebelum perlawanan tamat. - BERNAMA
SUMBER- di : http://www.bharian.com.my/node/190639
No comments:
Post a Comment