Ad

Saturday, 10 September 2016

Pemain kita taraf amatur

Adakah kita bermain bola sepak amatur? Perlawanan persahabatan menentang pasukan Indonesia mencetuskan persoalan ini di minda pencinta bola sepak tempatan.
Persembahan pemain pertahanan Fadhli Shas pada malam itu begitu amatur. Dia langsung ketinggalan dari segala aspek permainan. Reaksinya begitu lambat. Pergerakannya lambat. Mindanya juga lambat. Inilah akibat seorang pemain bola sepak yang sedang mengalami kelesuan. Inilah akibat seorang pemain yang menjadi tonggak pasukan kebangsaan serta pasukan Bawah 23 (B-23) dalam masa sama tahun demi tahun.

Pemain bek kiri, Azrif Nasrulhaq bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad merah. Persembahannya begitu tidak tentu arah. Dia kurang selesa apabila mempunyai bola. Segala hantarannya tidak diberikan perhatian. Dia seolah-olah pemain amatur yang tidak dapat menguasai perasaan. Dan jangan digunakan alasan diletakkan di posisi bukan asal. Kita harus persoal motivasi pemain ini? Pemain ini sudah mencapai cita-citanya untuk mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) tetapi kelihatan kurang minat menyarung jersi kebangsaan.

Bagaimana pula dengan Brendan Gan yang mempunyai sentuhan pertama seperti budak berumur lima tahun? Pemain ini berusia 28 tahun dan jelas bertaraf amatur kerana tidak selesa menerima hantaran apabila membelakangkan pemain lawan.

Seterusnya, Wan Zack Haikal Wan Noor. Seorang pemain yang dia sendiri tidak tahu apa yang akan dilakukannya, apatah lagi rakan sepasukan! Pemain ini sepatutnya bijak membaca keadaan sekeliling sebelum membuat keputusan. Malam itu dia jelas kelihatan begitu terpisah daripada rakan sepasukan. Setiap kali Wan Zack menguasai bola, semua rakan sepasukan berhenti bergerak kerana tidak pasti apa pula akan dilakukannya. Adakah Wan Zack akan membuat larian dengan bola? Adakah Wan Zack akan menggelecek pemain lawan? Adakah Wan Zack akan membuat hantaran?

Adakah kita amatur ketika bermain bola sepak?

Dalam hampir tiga tahun sejak 2014, pasukan Johor DT menurunkan Luciano Figueroa sebagai penyerang utama. Sekiranya ada keadaan memaksa, maka Safee Sali diturunkan di posisi itu. Pada tahun ini, Juan Martin Lucero memegang watak penyerang utama dan sekiranya keadaan memaksa maka Safee menjadi pengganti posisi itu.

Jadi, adakah dengan menurunkan Amri Yahyah sebagai penyerang utama satu langkah bijak atau langkah amatur?

Pemain tengah Baddrol Bakhtiar adalah seorang pemain yang gemar menyerang dari bahagian tengah atau sayap. Walaupun dia sentiasa tidak menghiraukan nasihat dengan kerap membuat hantaran ‘diagonal’ dan pada malam itu, setiap hantarannya disambut lawan tapi dia akan lebih efektif sekiranya diberi tugas baru. Pemain ini harus menjadi pemain yang paling dekat dengan penyerang utama.

Sebagai penjelasan, Baddrol mempunyai kebolehan serta minda untuk beraksi efektif sebagai gabungan ‘attacking midfielder’ dan ‘second striker’. Bukan sebagai ‘attacking midfielder’ atau ‘second striker’. Tapi apabila pemain ini diturunkan sebagai ‘deep lying midfielder’ pada malam itu maka kita membantutkan kebolehan pemain kita sendiri.

Satu lagi pemikiran serta pemilihan amatur.

Di sini sudah sampai masanya untuk menyusun strategi yang akan berhasil di Sukan SEA 2017.

Sudah tiba masanya untuk bertindak bijak dengan menggabungkan pasukan senior dan skuad Sukan SEA 2017. Setiap posisi diisi dengan seorang pemain senior dan seorang pelatih yang bakal beraksi di Sukan SEA nanti. Bukankah pasukan Bawah 23 Thailand menjadi juara Piala AFF 2014 dengan cara sebegitu.

Sambil menyelam minum air, kata peribahasa dan kini tiba masanya untuk semua pihak bangkit demi negara.

Pengalaman yang boleh ditimba daripada kejohanan kompetitif jauh lebih penting berbanding beraksi di pertandingan stimulasi bagi pemain pemain B-23.

Dengan penuh keyakinan dinyatakan Baddrol akan lebih efektif jika digandingkan dengan kelincahan S Kumaarhan.

Bola sepak di Malaysia tidak akan melangkah ke era profesional tetapi sekurang-kurangnya apa yang diperlukan adalah pemikiran ke arah itu.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 7:54 AM

No comments:

Post a Comment