Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) telah ditubuhkan pada 1970.
Penubuhan UKM merupakan satu kejayaan besar Dasar Pelajaran Kebangsaan
Kebangsaan. Semasa ditubuhkan UKM memulakan
operasi pengajiannya di beberapa kampus sementara iaitu di bekas Maktab Perguruan
Persekutuan, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur dan bekas Kolej Islam, Jalan
Universiti. Pada hari ini 2 September
1980 kampus tetap Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi telah dirasmikan
penubuhannya oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad
Shah. Upacara perasmian yang penuh gilang gemilang telah dimulakan dengan
ketibaan DYMM Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong ke Dewan Canselor Tun
Abdul Razak, dan telah disambut oleh Canselor Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum
Tuanku Abdul Rahman dan Tuanku Najihah bt Tuanku Besar Burhanuddin. Paluan
rebana ubi dan persembahan pancaragam Polis Diraja Malaysia telah memulakan
acara perasmian tersebut. Semasa bertitah diperasmian Kampus tetap Universiti
Kebangsaan Malaysia ini Yang di-Pertuan Agong berharap UKM akan terus
berkembang yang mendahului pusat-pusat pengajian tinggi lain di negara ini
dengan mengeluarkan pakar-pakar sama ada dalam bidang teknologi perindustrian
ataupun teknologi pertanian. Baginda
menegaskan bahawa walaupun teknologi perindustrian penting, kita tidak
seharusnya mengabaikan teknologi pertanian.
Sektor ini penting kepada negara dan melibatkan sebahagian besar rakyat
di kawasan luar bandar. Oleh itu
kedua-dua sektor ini harus diberikan perhatian yang sama berat. Turut berucap di Majlis Perasmian ini ialah
Menteri Pelajaran Datuk Musa Hitam, dan Naib Canselor UKM Prof. Datuk Awang Had
Salleh. UKM telah ditubuhkan atas kesedaran rakyat yang mahu melihat Bahasa
Melayu terus berkembang dalam negara kita.
Para pejuang Bahasa Melayu telah berusaha keras menangkis dan
menyakinkan semua pihak tentang kemampuan dan kepentingan meletakkan Bahasa
Melayu di menara gading agar kedaulatan bahasa ibunda ini akan terus dijaga dan
dipertingkatkan. Walaupun mendapat tentangan dari beberapa golongan yang
ragu-ragu terhadap kemampuan Bahasa Melayu, UKM terus memainkan peranannya,
memperjuang dan mengendalikan kusus-kursus dalam Bahasa Melayu. Pada hari ini jelas terbukti kemampuan Bahasa
Melayu adalah setaraf dengan bahasa-bahasa lain di dunia dalam bidang akademik
dan bidang-bidang lain juga. Semasa ditubuhkan UKM mempunyai hanya 192 orang
pelajar dengan hanya 78 orang tenaga pengajar, hari ini UKM telah berjaya
mengeluarkan beribu-ribu graduan setiap tahun.
Kampus tetap Bangi yang dirasmikan pada hari ini terletak di kawasan
seluas 2,967 ekar dan mampu menampung lebih kurang 10,000 pelajar dalam
berbagai bidang pengajian, kampus ini telah mula digunakan pada akhir tahun
1977. Dengan perasmian kampus tetap UKM di Bangi pada hari ini juga telah
membuahkan hasil kepada kegigihan para pejuang bahasa dan hasrat rakyat yang
ingin melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang berdaulat. Allahyarham Tun Abdul Razak juga pernah
menyatakan bahawa penubuhan UKM adalah kemuncak ke arah memenuhi operasi rakyat
yang mahu melihat bahasa ibunda mempunyai kedaulatan dan kedudukan yang
sewajarnya dalam menentukan keperibadian bangsa. Dengan perasmian kampus tetap Bangi pada hari
ini, UKM telah menempa sejarah dan maju setapak lagi dalam usaha mencapai cita-cita
murni negara.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment