Ad

Saturday, 10 September 2016

Rosyam Nor berjalan 47.2 km demi al-Quran

 Oleh NURUL FADILA AWALUDIN
Foto HALIM KHALID
 
Dalam misi berjalan kaki dari Shah Alam ke UIAM, Gombak, Rosyam turut diiringi beberapa wakil Yayasan Warisan Ummah Iklas serta pasukan keselamatan.

PERJALANAN beribu batu bermula dengan langkah pertama. Begitulah gambaran semangat penerbit dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor yang memulakan misi Walk World Quran Hour (WWQH) dengan berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer (km) bermula dari Masjid Media Karangkraf, Shah Alam hingga Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Gombak.

Mengaplikasikan konsep sama seperti program Earth Hour, umat Islam di seluruh dunia digalakkan memperuntukkan masa sekitar satu jam untuk membaca al-Quran, sekali gus dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.

Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas selain idea cetusan Rosyam sendiri tersebut sebagai langkah menggalakkan umat Islam membaca kitab suci al-Quran.

Program WWQH itu juga merupakan sebagai salah satu rangka usaha sebelum menjelang hari kemuncak World Quran Hour yang akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM, Gombak pada Ahad ini (esok).

Biarpun kedengaran satu usaha yang agak sukar untuk direalisasikan aktor tersebut, sementelah Rosyam kini mencecah usia 49 tahun, ternyata tahap stamina dan kesihatannya cukup mengizinkan niat murni tersebut dijayakan.

Disifatkan sebagai satu sumbangan kepada masyarakat, pelakon filem KL Gangster 2 itu tidak hanya ingin memupuk kesedaran penghayatan ilmu agama Islam khususnya bacaan al-Quran dalam masyarakat, bahkan WWQH diharapkan menjadi acara tahunan.

“Bersempena Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf yang jatuh pada 11 September (esok), ia menjadi permulaan pertama yang baik buat World Quran Hour.

“Diharapkan kempen itu tidak hanya berlaku pada tahun ini, sebaliknya diteruskan pada masa akan datang, sekali gus dijadikan sebagai acara tahunan,” jelas Rosyam optimis.

Berkongsi pengalaman menjayakan misi berjalan kaki bermula dari pukul 6 pagi dan berakhir sekitar 4.15 petang, Rosyam nyata tidak dapat menahan emosi apabila menitiskan air mata sewaktu tiba di garisan penamat.

Diiringi dengan selawat nabi, detik tersebut menjadi momen bermakna buat Rosyam termasuk semua kakitangan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas selepas mengharungi lebih 10 jam perjalanan.

Berdepan dengan cabaran cuaca yang tidak menentu, menguatkan lagi semangat beliau untuk meneruskan langkah sehingga ke garisan penamat.

Hampir mengangkat bendera putih setelah berjalan sekitar 25 km, Rosyam bagaimanapun berasa ‘diselamatkan’ oleh hujan. Beliau terpaksa menaiki kenderaan kerana bimbang situasi tersebut akan menjejaskan keselamatannya.

“Ketika itu saya berasa seperti ingin mengalah, namun berkat kuasa Tuhan, hujan turun dengan lebat. Atas saranan pihak polis trafik, saya terpaksa menaiki kereta sejauh beberapa kilometer,” ujarnya.

Selain itu, menjelang World Quran Hour yang julung kalinya berlangsung esok, Rosyam muncul di kaca televisyen membaca surah Al Khafi, ayat 46 hingga 48. Bacaan selama dua minit tersebut akan disiarkan secara langsung menerusi TV3, esok.

Ia merupakan sesuatu yang tidak pernah terbayang di fikirannya selama ini.

Cabaran

Bagi Ketua Projek World Quran Hour, Izahar Atan, tempoh dua hari yang diberikan menjadi cabaran utama saat ingin menjayakan program tersebut.

Pertama kali dilakukan pada tahun ini selepas pertubuhan yang sama selepas kejayaan program Rumah Ngaji pada Ramadan lalu.

Sehubungan dengan itu, Izhar mengharapkan kejayaan sama hasil kerjasama daripada UIAM dan media untuk memahatkan World Quran Hour setaraf dengan kempen amal antarabangsa yang lain.

“Sekiranya mereka berjaya menjadikan program-program yang dijalankan sebagai aktiviti wajib, mengapa tidak kita sebagai umat Islam memandang serius tentang bacaan al-Quran,” kata Izahar.

Untuk tahun-tahun akan datang, penyertaan lebih ramai golongan selebriti popular tanah air dan masyarakat amat diharapkan bagi menjadikan World Quran Hour sebagai ibadat, bahkan mengajak umat Islam kembali mengingati fitrah kehidupan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0910&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm#ixzz4JqkvxU8S Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment