WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
Sarjan Hassan bukan rekaan Tongkat kuasa Sarjan Hassan sepanjang lebih kurang 0.8 meter. Gambar kecil: Sarjan Hassan
PORT DICKSON - Watak Sarjan Hassan lakonan seniman agung P Ramlee dalam filem Sarjan Hassan yang ditayangkan pada 28 Ogos 1958, bukan rekaan semata-mata malah ia adalah kisah benar seorang pahlawan negara yang telah banyak berjasa kepada tanah air.
Anak Sarjan Hassan, Mohamad Muhsin, 56, berkata, dia tidak tidak berkecil hati jika dahulu ada yang menganggap kisah Sarjan Hassan adalah hanya dongeng, namun tinggi harapannya agar masyarakat hari ini lebih memahami dan celik sejarah.
“Kita semua pun tahu, filem Sarjan Hassan semasa penggambarannya terpaksa melalui beberapa kekangan atas faktor keselamatan negara ketika itu.
“Jadi banyak dipaparkan itu tidak seperti kejadian sebenar, tetapi semangat ditonjolkan Sarjan Hassan dalam filem lakonan P Ramlee itu memang betul-betul real.
“Arwah ayah saya memang seorang yang mempunyai semangat perjuangan yang tinggi demi mempertahankan tanah air.
“Semangat itu jugalah yang diharapkan ada pada barisan anggota keselamatan negara dan juga seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini untuk bersama-sama mempertahankan kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita semasa Seminar Jejak Perwira 2016 di Auditorium Muzium Tentera Darat semalam.
Anak ketujuh daripada 12 orang adik beradik itu berkata, dia sangat mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi memaparkan kisah sebenar Sarjan Hassan.
“Usaha P Ramlee sudah pasti sangat dihargai, dan jika sekarang ada yang ingin buat filem Sarjan Hassan berdasarkan kisah sebenar dan mengikut sejarah, itu sangat dialu-alukan untuk pemahaman generasi muda hari ini dan yang akan datang,” katanya.
Tidak boleh dilihat komunis
Mohamad Muhsin berkata, Sarjan Hassan memang selalu bercerita tentang dunia ketenteraan, tentang pertempuran dan ketika beliau melakukan risikan ke atas pergerakan komunis kepada anak-anaknya.
“Masa saya kecil, memang dia selalu cerita tentang pertempuran dan sebagainya.
“Selain ilmu ketenteraan, Sarjan Hassan mempunyai kelebihan ilmu antaranya membolehkan dia tidak dilihat oleh komunis.
“Itu kelebihannya dan dia memang seorang yang rajin menuntut ilmu agama dengan agamawan, malah dia juga dulu merupakan pelajar sekolah pondok,” katanya.
Mohamad Muhsin berkata, dalam semua peperangan atau pertempuran yang disertai Sarjan Hassan, pertempuran dengan diri sendiri adalah pertempuran yang paling mencabar buat dirinya.
“Sarjan Hassan pernah berkata, pertempuran dengan diri sendiri, bertempur dengan sikap jahat dalam diri dan kita hanya akan menang jika dalam diri ada sikap amanah dan bertanggungjawab.
“Jika dah sampai tahap itu, letakkan kita ke pertempuran apa pun, kita akan berjaya hadapinya,” katanya.
Menurutnya, dalam 12 beradik tidak ada seorang pun yang mengikut jejak langkah arwah ayahnya menyertai tentera.
“Saya pernah beberapa kali dihantar arwah ayah untuk sesi pemilihan tentera, tetapi semuanya gagal. Lagi pun memang jiwa saya tidak ke arah ketenteraan,” katanya.
Katanya, dia juga berharap agar perjuangan dan pengorbanan arwah ayahnya dapat terus dihargai sebaris dengan pejuang kemerdekaan negara yang lainnya.
Sementara itu, cucu Sarjan Hassan, Mohd Syahrul Nizam Ishak, 34, berkata, dia antara cucu Sarjan Hassan yang menyimpan beberapa barang peninggalan pahlawan negara itu.
“Antara yang ada dalam simpanan saya adalah tongkat kuasa dan mesin taip. Saya berhasrat untuk menyerahkan barangan berkenaan kepada Muzium Tentera Darat bagi menambah koleksi sedia ada berkaitan Sarjan Hassan,” katanya.
Sumber-SINAR HARIAN 8 SEPTEMBER 2016
No comments:
Post a Comment