Agensi
LUKAKU (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Saint Petersburg: Roy Keane memuji Belgium selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Russia dan percaya skuad bimbingan Roberto Martinez itu mampu melangkah ke pusingan seterusnya di Euro 2020.
Romelu Lukaku menjaringkan gol pertama dan terakhir dengan Thomas Meunier menyumbang gol kedua ketika pasukan nombor satu dunia itu menewaskan Russia di Saint Petersburg.
Belgium akan bertemu Denmark pada perlawanan seterusnya sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan bertemu Finland dan Keane percaya mereka tidak akan menerima cabaran yang sukar di awal saingan.
"Kita seharusnya memberikan mereka bye ke suku akhir atau separuh akhir. Apabila saya melihat Belgium, kualiti adalah perkataan yang paling sesuai untuk mereka," katanya.
Russia hanya mampu melakukan lima cubaan tepat, malah tanpa Kevin De Bruyne yang mengalami kecederaan, Belgium masih mampu mempamer aksi cemerlang.
Bagaimanapun bekas pemain Perancis, Patrick Vieira berasakan masih terlalu awal untuk melakukan penilaian kerana kelemahan terbesar Belgium belum terserlah.
"Kita tidak memperoleh banyak jawapan mengenai Belgium pada perlawanan pertama ini.
"Mereka mempunyai jentera serangan yang mampu menjaringkan sebanyak mungkin gol. Persoalannya adakah mereka mampu bertahan dengan baik dan kita belum memperoleh jawapan itu.
Dua gol Lukaku bermakna dia kini sudah terbabit dengan 26 jaringan sepanjang 19 penampilan terakhir bersama Belgium dengan 22 daripadanya dijaringkan olehnya sendiri.
Disiarkan pada: Jun 13, 2021 @ 10:01am
No comments:
Post a Comment