Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
COOLS (kiri) yakin kerja keras rakan sepasukan sepanjang kempen kelayakan di UAE itu bakal terbalas. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Kuala Lumpur: Pemain kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools percaya skuad Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif apabila turun menentang Thailand pada aksi terakhir Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi Rabu.
Kemenangan ke atas skuad Gajah Perang itu cukup penting bagi meletakkan skuad negara di kedudukan ketiga kumpulan sekali gus akan memastikan Malaysia berada pada balang teratas dalam undian pusingan ketiga Piala Asia nanti.
Jelas Cools yang juga tonggak pertahanan negara berkata, kekalahan 1-2 di tangan Vietnam pada Jumaat lalu sememangnya mengecewakan yang menyaksikan laluan Malaysia untuk melangkah ke peringkat ketiga kelayakan Piala Dunia turut musnah.
Namun, dia yang beraksi bersama kelab utama Liga Denmark, FC Midtjylland yakin kerja keras rakan sepasukan sepanjang kempen kelayakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu bakal terbalas apabila anak didik Tan Cheng Hoe menetang Thailand nanti.
"Apa yang hendak dikatakan? Kita tidak sepatutnya kalah dalam perlawanan itu (aksi menentang Vietnam)...sangat kecewa.
"Kami sudah melakukan yang terbaik (bekerja keras dalam latihan dan perlawanan), kami akan mendapat ganjaran. Percayalah, terima kasih atas sokongan (peminat) Malaysia," katanya di laman sosial Instagram miliknya.
Selepas tujuh perlawanan, Vietnam kini mendahului kumpulan dengan 17 mata, diikuti UAE (15 mata), Thailand (sembilan mata) dan Malaysia keempat (juga sembilan mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot dengan satu mata.
Kali terakhir pasukan kebangsaan menang ke atas jiran tetangga itu adalah pada pertemuan pertama kempen sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada dua tahun lalu yang menyaksikan tuana rumah menang 2-1 menerusi jaringan Mohamadou Sumareh dan Brendan Gan.
Disiarkan pada: Jun 14, 2021 @ 5:51pm.1
No comments:
Post a Comment