Ad

Monday, 14 June 2021

Trippier main sebelah kiri, saya pun boleh - Syahmi

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



SYAHMI (dua dari kiri) akui sebagai pemain profesional kena sesuaikan diri dengan situasi. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia

Kuala Lumpur: Walaupun tidak pernah beraksi di bahagian pertahanan kiri sebelum ini, Syahmi Safari tetap akan menyahut cabaran beraksi di posisi itu jika diarahkan pengendali negara, Tan Cheng Hoe dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand, pada awal pagi Rabu.

Syahmi yang sinonim beraksi di bahagian kanan sama ada ketika bersama Harimau Malaya ataupun Selangor FC di Liga Malaysia (Liga-M), mengakui sudah bersedia untuk menggantikan Corbin Ong yang digantung ekoran mengumpul dua kad kuning.

"Rasanya posisi itu kalau ikut peranan sama saja pertahanan kiri dan pertahanan kanan adalah peranan yang sama. Cuma kedudukan itu agak berbeza, kadang kadang dalam sesetengah situasi kita akan rasa sedikit kekok.

"Tapi kebelakangan ini saya pun dah banyak menjalani latihan di bahagian pertahanan kiri dan jika diberi peluang rasanya tak menjadi satu masalah, dan macam kita sebagai pemain profesional kena sesuaikan diri dengan situasi macam ini.

"Kalau kita tengok pemain antarabangsa pun banyak bermain bukan di posisi asal mereka seperti Joshua Kimmich, pemain Jerman dan kita boleh tengok England semalam pun, Kieran Trippier main pertahanan kiri.

"Jadi benda ini kita kena bersedialah dan jika diberi kepercayaan oleh jurulatih kita kena balas sebaik mungkin," katanya pada sidang media secara maya.

Menerusi laporan semalam, ketiadaan tonggak pertahanan kanan Harimau Malaya, Corbin Ong yang digantung untuk aksi menentang Thailand nyata memeningkan kem negara ketika ini.

Ia susulan ketiadaan pemain yang dilihat mampu mengisi posisi itu dengan kemungkinan dua tonggak dilihat berpotensi beraksi sama ada antara Syahmi Safari atau Adam Nor Azlin.

Disiarkan pada: Jun 14, 2021 @ 6:45pm.1

__________________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/717858/trippier-main-sebelah-kiri-saya-pun-boleh-syahmi

No comments:

Post a Comment