Agensi
AKSI Ronaldo ketika menjalani latihan di Stadium Illovszky Rudolf, Budapest semalam. FOTO AFP
Lisbon: Bekas pemain antarabangsa Portugal, Paulo Ferreira menjangkakan Cristiano Ronaldo akan mencipta satu lagi rekod baharu di Euro 2020.
Ferreira yakin bintang Juventus itu dalam landasan tepat memintas pencapaian Michel Platini untuk muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Kejohanan Eropah.
Pemenang lima kali Ballon d'Or itu menyamai rekod Platini dengan sembilan gol dan hanya perlukan satu lagi untuk mengatasi kehebatan ikon Perancis itu.
Ferreira yang tampil 45 perlawanan bersama Ronaldo di Portugal meramalkan bekas rakan sepasukannya tiada masalah meleburkan rekod Platini.
"Saya yakin Ronaldo akan melakukannya dan sudah pasti rekod itu berlegar-legar dalam minda dia,'' kata Ferreira kepada 101 Great Goals.
"Dia mahu menjadi penjaring terbanyak Portugal. Dia tidak akan berhenti selagi tidak memecahkan rekod itu."
Portugal memulakan kempen mempertahankan gelaran Eropah dengan menentang Hungary tengah malam Selasa ini dalam saingan Kumpulan F di Budapest.
Semua mata pasti tertumpu kepada Ronaldo sekali lagi yang menjadi sandaran Portugal untuk mengulangi detik manis Euro 2016 dan Ferreira tidak meragui CR7 akan menghadiahkan kejayaan buat pasukannya.
"Dia salah seorang pemain terbaik dunia selain Messi,'' kata bekas pertahanan Chelsea itu.
Disiarkan pada: Jun 13, 2021 @ 8:55am
No comments:
Post a Comment