SAFAWI Rasid meraikan gol kemenangan selepas menyudahkan sepakan penalti bersama Syafiq Ahmad - Ihsan FAM
Oleh ROZAIDI ZULKIFLI
16 Jun 2021, 3:00 am
PETALING JAYA : Skuad Harimau Malaya akhir berjaya merasai kemanisan kemenangan selepas menundukkan Thailand 1-0 dalam aksi terakhir kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, sebentar tadi.
Keputusan itu membantu skuad kebangsaan mengakhiri kempen kelayakan di kedudukan ketiga kumpulan dan pulang ke tanah air sekurang-kurang membawa pulang satu keputusan positif.
Sebaik sahaja wisel permulaan ditiup, anak buah Tan Cheng Hoe bermula garang apabila hampir didepan pada minit kesembilan namun peluang itu gagal disudahkan pemain sayap negara, Akhyar Rashid biarpun berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom.
Skuad Harimau Malaya sekali lagi menguji Chatchai dan kali ini menerusi tandukan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula namun bola tepat ke dakapan penjaga gol berusia 34 tahun itu pada minit ke-21.
Enam minit kemudian, giliran pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak pula mempunyai peluang namun sekali lagi tandukannya tepat menuju ke dakapan Chatchai.
Pemain tengah negara, Nor Azam Azih turut membuat Chatchai cemas menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-41 namun percubaan itu masih gagal menggegar jaring lawan.
Skuad Gajah Perang juga berjaya mencipta beberapa peluang namun buntu untuk menembusi gawang gol negara yang dikawal Khairulazhan Khalid menyaksikan kedudukan 0-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Mohammed Khled selepas pertahanan Thailand menjatuhkan Safawi Rasid.
Peluang keemasan itu dimanfaatkan oleh bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu untuk membuka tirai jaringan buat skuad Harimau Malaya pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu, Thailand hampir menyamakan kedudukan namun tandukan penyerang, Suphanat Mueanta berjaya diselamatkan Khairulazhan pada minit ke-59.
De Paula turut berpeluang mencetak nama sebagai penjaring namun rembatannya dalam kotak penalti pada minit ke-65 sedikit tersasar melepasi palang gol lawan.
Begitupun, 10 minit terakhir skuad negara seperti hilang rentak, selain beberapa pemain kelihatan keletihan apabila lebih banyak bertahan di tempat sendiri dengan menerima asakan bertali arus pasukan Thailand.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia menamatkan kempen pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di tangga ketiga dengan 12 mata dibelakang Vietnam di tangga kedua (17) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul juara kumpulan G (18).
UAE berjaya muncul juara selepas menewaskan Vietnam 3-2 dalam aksi terakhir kumpulan pada waktu yang sama.
Terdahulu, pada pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 14 November 2019 menyaksikan Malaysia turut melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand.1
______________________________________________________
No comments:
Post a Comment