Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SAFAWI (kiri) berkata kejayaan melakar tiga mata itu adalah ‘buah tangan’ terbaik buat penyokong bola sepak tempatan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Kuala Lumpur: Penjaring tunggal negara, Safawi Rasid mengakui lega apabila sepakan penaltinya berjaya membantu skuad Harimau Malaya merakam kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi tadi.
Safawi yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada awal babak kedua tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-52 selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti.
Jelas pemain sayap berusia 24 tahun itu, kejayaan melakar tiga mata itu adalah 'buah tangan' terbaik buat penyokong bola sepak tempatan yang selama ini sentiasa berada di belakang pasukan.
Malah, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) sebanyak dua kali itu (2018, 2019) turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu.
Bagaimanapun, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menganggap keseluruhan pasukan adalah pemain terbaik pada aksi terakhir Kumpulan G menentang skuad Gajah Perang itu.
"Pertama sekali tahniah kepada pasukan yang beri komitmen terbaik dan 'superb' malam ini (awal pagi tadi).
"Bukan mudah lawan Thailand, tapi saya rasa dari pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, pemain hari ini kita berikan all out untuk meraih kemenangan dan tiga mata bagi di bawa balik ke Malaysia.
"Bagi saya bukan saya pemain terbaik perlawanan, tetapi keseluruhan pasukan," katanya pada sidang media selepas aksi terbabit.
Kemenangan ke atas Thailand yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Akira Nishino itu meletakkan Malaysia menduduki tangga ketiga kumpulan dengan 12 mata daripada lapan aksi untuk menolak jiran tetangga itu ke tempat keempat dengan sembilan mata.
Kejayaan berkenaan turut menyaksikan skuad negara meraih slot ke peringkat kumpulan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada 11 November depan untuk merebut 12 tiket ke pusingan akhir di China pada 2023 nanti.
Untuk rekod, hasrat beraksi ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia musnah selepas anak didik Tan Cheng Hoe tewas dalam dua aksi terdahulu kepada tuan rumah (0-4) dan Vietnam (1-2) untuk mengucapkan selamat tinggal ke Piala Dunia.
Disiarkan pada: Jun 16, 2021 @ 12:50pm.1
_________________________________________________
No comments:
Post a Comment