Ad

Sunday, 13 June 2021

Isak sandaran Sweden robek Sepanyol

AFP



PENYERANG Sweden, Alexander Isak (kiri) dan Emil Forsberg ketika sesi latihan menjelang perlawanan bertemu Sepanyol. FOTO EPA

Seville: Alexander Isak diharap meneruskan kecemerlangan kempen La Liga ke saingan Euro 2020 apabila Sweden mengharapkan kudratnya mengisi kekosongan ditinggalkan Zlatan Ibrahimovic menentang Sepanyol, esok.

Berikutan Ibrahimovic cedera manakala Dejan Kulusevski menjalani kuarantin di rumah selepas positif Covid-19, Sweden mengharapkan Isak yang berusia 21 tahun selepas penyerang Real Sociedad itu menjaringkan 17 di Sepanyol, musim lalu.

Barisan pertahanan Sepanyol akan mengetahui ancaman boleh dilakukan Isak menerusi kepantasan, kualiti teknikal dan ketajamannya memburu gol.

Skuad Sweden pula mengharapkan pemain itu akan menyerlah di pentas tertinggi peringkat antarabangsa menentang salah satu pasukan elit di Eropah.

Bersama Kulusevski, yang juga berusia 21 tahun, Isak adalah generasi terbaru Sweden dan gandingan itu beraksi pada perlawanan persahabatan terakhir ketika menewaskan Armenia 3-1.

Jurulatih Sweden, Janne Andersson tidak mampu menggandingkan mereka menentang Sepanyol apabila Kulusevski dikuarantin dan mengharapkan Isak di jentera depan.

Selepas menyertai Real Sociedad pada 2019 dengan nilai RM32.4 juta (6.5 juta euros), Isak mungkin bernilai lima kali ganda jika kelab Basque itu mahu memilikinya pada musim panas ini, sambil Barcelona turut menaruh minat terhadapnya.

"Penyokong boleh bertenang, saya rasa bagus di Real Sociedad," kata Isak dalam temu bual bersama akhbar di Basque, bulan lalu.

Tetapi, Borussia Dortmund memiliki pilihan untuk membelinya semula dan ia dijangka berbaloi sekiranya Erling Braut Haaland meninggalkan pasukan itu.

"Pemain akan membuat keputusan, tetapi segalanya berjalan lancar dengan Alex. Borussia memiliki pilihan untuk membelinya semula daripada kami, tetapi dia harus menerimanya terlebih dulu," kata Pengarah Sukan Real Sociedad, Roberto Olabe.

"Buat masa ini, kami berada di landasan tepat."

Isak akan memperoleh cap ke-22 selepas muncul pemain kedua termuda mewakili Sweden ketika berusia 17 tahun dan 109 hari menentang Ivory Coast pada Januari 2017.

Empat hari kemudian, dia muncul pemain termuda Sweden menjaringkan gol antarabangsa ketika menentang Slovakia.

Disiarkan pada: Jun 14, 2021 @ 1:25am

No comments:

Post a Comment