Hassan Omar
am@hmetro.com.my
YAHAYA Senin menunjukkan jaring selangat yang dijadikan tempat berpaut selepas perahu gentian kacanya tenggelam 200 meter dari gigi pantai Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling. FOTO HASSAN OMAR
Melaka: Dua nelayan menempuh detik cemas apabila perahu mereka karam dan hampir meragut nyawa dalam kejadian berhampiran Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling, Rabu lalu.
Bagi Yahaya Senin, 62, saat ketika perahu gentian kacanya tenggelam, dia dan awak-awak, Marasip Aziz, 60, sudah terbayang saat kematian sudah tiba apabila terpaksa bergayut pada jaring ikan selangat yang diibaratkan sebagai penyambung nyawa.
Menceritakan detik cemas dalam kejadian jam 8.30 pagi Rabu lalu itu, Yahaya berkata, dia dan awak-awak turun menangkap ikan selangat pada 7 pagi.
"Kami menjaring satu batu nautika dari pantai dan ketika kami menarik jaring, hujan lebat dan ribut, menyebabkan kami terpaksa menarik jaring ke dalam perahu tanpa menanggalkan ikan yang memenuhi jaring.
"Selepas mengikat jaring dalam dua jori (tali pengikat jaring), kami bergerak untuk naik ke pangkalan tetapi 200 meter menghampiri gigi pantai, tiba-tiba tiga lapis ombak besar memukul perahu dan menyebabkan bahagian belakang atau bontot perahu dimasuki air," katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini hari ini.
Yahaya berkata, dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat itu, dia menjerit meminta Marasip berpaut pada jaring yang timbul kerana pelampung dalam jaring menyebabkannya tidak tenggelam.
"Sambil berpaut pada jaring, kami menggerakkan kaki masing-masing seperti gerakan berenang dan menuju ke gigi pantai.
"Sepanjang lebih 40 tahun saya menjadi nelayan, itulah kali pertama saya karam di perairan jauh dari gigi pantai kerana sebelum itu saya pernah karam di gigi pantai ketika hendak menarik perahu naik ke pangkalan," katanya.
Dalam peristiwa dua kali karam di gigi pantai kira-kira 10 tahun lalu, hanya perahu yang tenggelam dan enjin motor sangkut rosak dimasuki air laut manakala dia terselamat kerana hanya bertarung dengan air laut pada paras dada.
"Selepas mengayuh dengan kaki kira-kira setengah jam, saya mula keletihan dan mula terasa seakan-akan kekejangan, selain sudah terbayang hari itu adalah yang terakhir saya bernafas," katanya.
Bagaimanapun, dia dan Marasip bersyukur kerana berjaya menghampiri gigi pantai dan melihat lima pekerja pembersihan pantai SWM Environment Sdn Bhd (SWM) berlari ke arah mereka sambil menghulurkan buluh panjang."Kami ditarik naik ke pantai dengan buluh itu dan orang ramai membantu mengangkat jaring naik ke pangkalan nelayan.
"Rakan pula membantu menaikkan perahu berkenaan bersama-sama enjin motor sangkut 15 kuasa kuda yang sudah dimasuki air pada petang kejadian. Saya terpaksa membelanjakan RM200 untuk membaiki enjin," katanya.
Disiarkan pada: Jun 13, 2021 @ 9:14am
No comments:
Post a Comment