SUKAN
CHENG HOE (tengah) bakal merombak kesebelasan utama susulan tiga pemain utama Harimau Malaya digantung perlawanan menjelang pertemuan menentang Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam Rabu ini.
Masih ada sinar buat Harimau Malaya
Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
14 Jun 2021, 10:10 am
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe dijangka melakukan perubahan terhadap kesebelasan utama menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam Rabu ini.
Tiga tonggak utama, Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh tidak dapat diturunkan pada pertemuan tersebut selepas menjalani penggantungan perlawanan.
Justeru, Cheng Hoe sedia mencari ramuan terbaik dengan melakukan perbincangan bersama barisan kejurulatihan dalam usaha memastikan skuad Harimau Malaya mara ke playoff Piala Asia 2023.
Peluang Malaysia untuk layak secara automatik sudah tertutup rapat selepas tewas kepada Vietnam kelmarin, namun sinar masih ada buat Harimau Malaya sekiranya mencatat kemenangan ke atas skuad Gajah Perang.
“Aksi bertemu Thailand sangat penting kerana kita memerlukan keputusan positif untuk menghidupkan peluang ke Piala Asia. Kita perlu lakukan persiapan terbaik kerana Thailand memiliki ramai pemain bagus.
“Bagaimanapun, kita kehilangan tiga pemain utama pada perlawanan itu nanti. Sudah tentu saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan berhubung kesebelasan utama nanti.
“Saya akui bek kiri paling terjejas kerana Corbin-Ong sentiasa bermain di posisi itu. Kita tidak ada bek kiri yang boleh diketengahkan, namun saya yakin pemain lain juga sedang menunggu peluang beraksi,” katanya menerusi sidang akhbar virtual semalam.
Berdasarkan senarai pemain yang dibawa, Syahmi Safari dan Rizal Ghazali antara calon terbaik bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Corbin-Ong biarpun mereka beraksi di posisi bek kanan bersama kelab masing-masing.
Dalam pada itu, Cheng Hoe juga mengakui beliau terpaksa melupakan seketika kesedihan selepas menerima perkhabaran duka mengenai kematian bapanya beberapa jam sebelum bertemu Vietnam.
“Walaupun kehilangan orang tersayang, namun saya perlu teruskan perjuangan di sini kerana saya tidak boleh tinggalkan pasukan. Memang sedih tetapi saya sudah berjanji dengan pasukan, saya akan terus pikul tugas ini.
“Saya juga ada berhubung dengan keluarga dan mereka mahu saya terus jalankan tanggungjawab di sini. Ketika itu, saya fokus sepenuhnya untuk aksi penting bertemu Vietnam,” ujarnya.1
_____________________________________________________
No comments:
Post a Comment