Ad

Wednesday, 14 July 2021

EURO: Ronaldo menang Kasut Emas

Julai 12, 2021 @ 11:22am



Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo. - Foto AFP.

LONDON: Cristiano Ronaldo menambah koleksi anugerah peribadinya apabila memenangi Kasut Emas Euro 2020 selepas Harry Kane dan Raheem Sterling gagal menambah jaringan pada aksi final menentang Itali di Wembley.

Bintang Juventus itu kekal mendahului senarai penjaring terbanyak dengan lima gol walaupun pasukannya, Portugal tersingkir di peringkat kalah mati di tangan Belgium.

Pemain 35 tahun itu mengumpul lima gol dalam empat perlawanan pertama, berkongsi dengan Patrik Schick yang membawa Republik Czech ke suku akhir. Bagaimanapun jumlah umpanan gol membolehkan Ronaldo memenangi anugerah berkenaan.

Empat daripada jaringan Ronaldo di Euro 2020 hasil sepakan penalti manakala satu lagi daripada permainan terbuka ketika Portugal tewas 2-4 kepada Jerman.1

______________________________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/838512/euro-ronaldo-menang-kasut-emas

Chiellini akui menyumpah Saka dengan jeritan ‘Kiricocho’

WARTAWAN SINAR HARIAN | | 14 Julai 2021




Sepakan penalti Bukayo Saka berjaya diselamatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma pada aksi final Euro 2020. - Foto insider.com, salesground
PERTAHANAN Itali, Giorgio Chiellini mengakui telah ‘menyumpah’ pemain England, Bukayo Saka dengan menjerit perkataan ‘Kiricocho’ agar pemain muda berkenaan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi final Euro 2020 di Wembley, pada Isnin.
Menurut Chiellini, dia menjerit perkataan berkenaan kerana ia difahamkan sering kali digunakan oleh pemain bola sepak bertujuan memberikan nasib malang kepada pihak lawan.
Justeru sebelum Saka melakukan sepakan, Chiellini mengakui telah menjerit ‘Kiricocho’ dan sepakan itu yang juga sepakan penalti kelima England itu kemudiannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, sekali gus mengesahkan Itali muncul juara Euro 2020.
Untuk rekod, pada perlawanan berkenaan, Itali dikejutkan dengan jaringan pembukaan England seawal minit kedua menerusi rembatan jarak dekat Luke Shaw.
Bagaimanapun, pertahanan veteran, Leonardo Banucci menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terus buntu untuk menambah jaringan.
Itali menang 3-2 setelah Domenico Berardi, Leonardo Bonucci, Federico Bernardesci menjaringkan gol buat Azzurri manakala hanya Harry Kane dan Harry Maguire menjaringkan gol buat skuad The Three Lions.
Menurut sumber, perkataan ‘Kiricocho’ atau Quiricocho merujuk kepada seorang penyokong tegar kelab Liga Argentina, Estudiantes sekitar 80-an lalu bernama, Juan Carlos Kiricocho atau Quricocho.
Kiricocho dikatakan sering kali menghadiri sesi latihan Estudiantes sehingga menyebabkan ketua jurulatih ketika itu, Carlos Bilardo mulai mengesyaki kehadiran Kiricocho secara misteri telah menyebabkan kebanyakan pemainnya mengalami kecederaan secara tiba-tiba.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/149928/BERITA/Sukan/Chiellini-akui-menyumpah-Saka-dengan-jeritan-Kiricocho© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

1https://www.sinarharian.com.my/article/149928/BERITA/Sukan/Chiellini-akui-menyumpah-Saka-dengan-jeritan-Kiricocho

Annil pertahanan berbisa

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

.


V ANNIL bersama kelabnya di Jerman, SGV Freiburg.

Kuala Lumpur: Selain berkemampuan beraksi di bahagian pertahanan, rupa-rupanya pemain baharu skuad bawah 20 (B-20) tahun negara yang berpangkalan di Jerman, V Annil turut mampu bermain di posisi serangan.

Perkara itu dimaklumkan kelabnya, SGV Freiburg yang mengesahkan Annil sudah meledak beberapa gol buat kelab divisyen lima Jerman itu.

Menerusi satu posting di laman sosial kelab terbabit, aksi Annil mendapat pujian barisan kejurulatihan dan percaya pemain kelahiran Kajang, Selangor itu mampu beraksi di pentas Eropah.

"Persembahan mengagumkan dan perkembangan pembangunan yang semakin menunjukkan peningkatan sejak setahun lalu. Annil berasal dari Malaysia. Penyerang yang bagus dan seorang tonggak pertahanan tengah. Setiap pasukan pasti akan gembira untuk dapatkan tandatangan pemain ini," tulis kelab itu.

Difahamkan, Annil yang sudah beberapa tahun berkelana di Jerman pernah dipanggil kelab terkemuka Belanda, Ajax Amsterdam untuk mengikuti latihan intensif selama tiga bulan di sana.

Lantas menerusi perkembangan itu, skuad negara kendalian Brad Maloney kini mempunyai opsyen tambahan di jentera depan dengan Annil mampu beraksi di dua posisi.

Arena Metro hari ini melaporkan, Maloney yang juga pengendali skuad B-20 tahun negara mengakui akan memanggil Annil pada kem latihan pasukan nanti bagi memperkuatkan barisan pertahanan negara.

Skuad muda negara dijadual mengharungi kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama dua lagi pesaing dari rantau Asia Tenggara iaitu Laos dan Thailand serta Mongolia selaku tuan rumah.

Juara dari setiap 11 kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbeskitan yang bakal diadakan dari 1-19 Jun tahun depan.

Disiarkan pada: Julai 14, 2021 @ 9:38pm.1

____________________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730669/annil-pertahanan-berbisa

SUKAN



SOUTHGATE mengakui beliau yang menentukan pemain yang mengambil sepakan penalti dan bersedia untuk memikul tanggungjawab penuh ekoran kegagalan England. – AFP

England masih mampu berbangga

Oleh KOSMO!

13 Julai 2021, 12:00 pm

LONDON – Ketua jurulatih England, Gareth Southgate sedia memikul tanggungjawab penuh selepas menyaksikan pasukannya tewas 2-3 pada penentuan penalti kepada Itali selepas perlawanan terikat 1-1 pada aksi final saingan Euro 2020 di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, percaturan Southgate memasukkan Marcus Rashford dan Jadon Sancho sebelum tamat masa tambahan tidak memberi erti apabila kedua-dua pemain itu gagal menyempurnakan tugas penalti yang diberikan.

Malah, keputusan Southgate untuk menyenaraikan pemain muda berusia 20 tahun, Bukayo Saka untuk menjadi pengambil sepakan penalti terakhir juga dikritik hebat selepas sepakan pemain itu berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Itali, Gianluigi Donnaruma.

Kata Southgate, percaturan mengenai siapa yang mengambil sepakan penalti sudah ditentukan lebih awal berdasarkan prestasi dan tahap keyakinan pemain pada sesi latihan sebelum ini dan semua keputusan itu terletak di tangan beliau.

Saya mengambil risiko dan tanggungjawab penuh atas kegagalan pasukan menjuarai Euro 2020 kali ini selepas tewas menerusi penentuan sepakan pe­nalti. Keputusan untuk memilih pemain adalah berdasarkan keputusan saya.

Saya telah membuat keputusan untuk memasukkan Sancho dan Rashford selepas melihat rekod mereka ketika bersama kelab masing-masing sebelum ini termasuk sepanjang kem latihan pusat kami sejak Piala Dunia 2018 lagi.

Mengenai Saka pula, dia telah memberikan yang terbaik dan mendapat sokongan penuh daripada rakan sepasukan. Saya percaya kekecewaan ini tidak akan merentap semangatnya kerana dia adalah bintang pasukan England pada masa depan,” katanya.

Mengulas mengenai aksi final, Southgate yang telah membim­bing England sejak 2016 percaya pasukannya boleh mendabik dada meskipun gagal menamatkan kemarau 55 tahun untuk menjulang trofi utama selepas Piala Dunia 1966.

Sudah tentu kami kecewa apabila tewas di pentas akhir, namun pujian harus diberikan kepada barisan pemain yang memberikan tentangan cukup sengit sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan dan mereka perlu berbangga dengan apa yang dipamerkan sepanjang kejohanan ini,” katanya. – AGENSI.1

________________________________

1https://www.kosmo.com.my/2021/07/13/england-masih-mampu-berbangga/

Rashford, Saka, Sancho sasaran kebencian



MARCUS Rashford menjadi sasaran serangan perkauman selepas gagal menyempurnakan penalti ketika England tewas kepada Itali dalam final Euro 2020. – AFP

Oleh Meja Sukan

14 Julai 2021, 7:35 am

LONDON: Lebih tujuh juta orang menandatangani petisyen mahu hukuman keras dikenakan terhadap mereka yang melakukan serangan perkauman terhadap pemain, termasuk digantung menonton perlawanan bola sepak seumur hidup.

Kelmarin, Facebook dan Twitter dalam satu kenyataan berkata, mereka terpaksa memadam ba­nyak komen kesat yang ditujukan kepada pemain England ekoran kekalahan kepada Itali pada final Euro 2020.

Kebanyakan komen ditinggalkan di Twitter, Instagram dan Facebook ditujukan kepada Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka, tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika England kalah 2-3 kepada Itali menerusi penalti.

Emoji monyet dan ‘sila balik Nigeria’ antara serangan yang diterima pemain.

Penganiayaan perkauman kepada pemain England sama sekali tiada tempat di Twitter.

Dalam tempoh 24 jam menerusi sistem automatik dan tinjauan petugas kami, Twitter telah memadam lebih 1,000 Tweet dengan cepat, selain menggantung beberapa akaun,” kata jurucakap Twitter.

Petisyen ‘Larangan pesalah perkauman daripada semua perlawanan bola sepak England seumur hidup’ yang dianjurkan The Three Hijabis mendapat sokongan hebat.

Petisyen yang disiarkan di Change.org itu menyebut: “Pa­sukan Gareth Southgate wakili kita semua. Sebab itu kami bangga de­ngan skuad ini dan mereka amat dihargai serta disayangi. Tidak sepatutnya ada ruang untuk perkauman dan ketaksuban dalam bola sepak.” – AGENSI.1

__________________________________

1https://www.utusan.com.my/sukan/2021/07/rashford-saka-sancho-sasaran-kebencian/

EURO: 'Perasaan paling teruk dalam dunia kalah penalti'

Julai 12, 2021 @ 7:20am



Kapten England, Harry Kane tunduk kecewa selepas menerima medal naib juara susulan kekalahan pasukannya kepada Itali pada aksi final Euro 2020 di Wembley. - Foto AFP.

LONDON: Kapten England, Harry Kane mengakui kekalahan penentuan penalti di tangan Itali pada final Euro 2020 adalah perasaan paling teruk dalam dunia.

Hanya Kane dan Harry Maguire menyempurnakan sepakan untuk England dalam kekalahan 3-2 penentuan penalti itu selepas terikat 1-1 di Wembley.

Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bukayo Saka gagal menyempurnakan sepakan mereka, sekali gus membuatkan England kempunan lagi untuk menjulang trofi utama sejak Piala Dunia 1966.

"Penalti adalah perasaan paling teruk dalam dunia apabila anda tewas. Sesiapa saja boleh gagal. Penalti adalah penalti.

"Kami sedang melalui proses. Pemain-pemain sudah memberikan apa yang mereka mampu, cuma ia bukan malam kami," kata Kane.

Luke Shaw meletakkan England di depan seawal minit kedua untuk rekod gol terpantas di final Euro.

Namun England menjadi pasukan kedua terbaik sepanjang permainan sehingga Leonardo Bonucci menyamakan kedudukan di babak kedua.

Penyerang Tottenham, Kane mengakui England tersilap langkah apabila terlalu berhati-hati selepas mendahului permainan.

"Kami berdepan pasukan yang amat bagus. Kami bermula sempurna, mungkin merosot sedikit pada satu ketika. Mereka mengawal bola sepanjang masa.

"Kami sebenarnya dapat mengawal keadaan apabila mereka tidak banyak mencipta peluang. Mereka mendapat gol hasil situasi bola mati dan selepas itu 50-50.

"Kami menang bersama, kalah bersama. Kami akan belajar dan memperbaikinya. Pemain-pemain akan bangkit di Piala Dunia tahun depan.

"Anda perlu berbangga. Kami mengharungi kejohanan yang hebat," katanya.- AFP.1

___________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/07/838390/euro-perasaan-paling-teruk-dalam-dunia-kalah-penalti

Pertahanan skuad B-20 makin ampuh

 Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Jurulatih skuad B-20 kebangsaan, Brad Maloney. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: Pertahanan skuad bawah 20 (B-20) tahun negara yang akan menyertai Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Mongolia pada hujung Oktober ini dijangka bertambah ampuh pada saingan itu nanti.

Ia selepas seorang tonggak pertahanan muda negara yang beraksi bersama kelab SGV Freiburg di Jerman, V Annil akan dipanggil pada kem latihan pusat skuad negara pada September dan Oktober ini.

Mendedahkan perkara itu kepada Arena Metro, pengendali pasukan, Brad Maloney berkata, Annil yang beraksi di saingan divisyen kelima Jerman antara pemain baharu yang akan diuji pada latihan itu nanti.

Katanya, pada latihan Julai tahun lalu, Annil sepatutnya menyertai pasukan namun disebabkan beberapa masalah seperti kuarantin dan pelepasan kelabnya, ia terpaksa ditangguhkan.

"Kali ini kita akan panggil dia dan beri peluang buat Annil untuk menunjukkan potensinya.

"Walaupun dia beraksi di Jerman, itu bukan laluan khas untuknya sertai pasukan kerana dia perlu tunjukkan kemampuannya. Namun pengalaman bermain di sana adalah kelebihan buatnya apabila bersaing nanti," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan untuk menghantar skuad B-20 tahun bagi menghadapi pusingan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 itu.

Keputusan menghantar skuad B-20 itu adalah sebahagian pelan jangka panjang FAM untuk menyediakan pasukan ini menghadapi kejohanan lebih besar seperti Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 serta Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 pada 2023 dan dua temasya Sukan Sea iaitu di Vietnam 2022 dan Kemboja 2023.

Selain pasukan Mongolia selaku tuan rumah, Malaysia turut bakal berdepan dua lagi pesaing lain dalam Kumpulan J iaitu Laos dan Thailand dengan masing-masing memburu kedudukan juara kumpulan untuk layak ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada Jun tahun depan di Uzbekistan.

Jelas Maloney lagi, selain Annil dan Luqman Hakim Shamsudin, terdapat beberapa lagi pemain berpangkalan di Eropah akan dipanggil seperti Omar Raiyan Kama Azlan dan Adam Hamid.

"Omar dan Adam pula memang kami sedang monitor dan kami juga berhubung dengan salah seorang ejen mereka. Saya pernah lihat Omar sebelum ini manakala Adam pernah berlatih bersama kami dalam satu 'call up' sebelum ini," katanya.Disiarkan pada: Julai 13, 2021 @ 10:10pm.1

___________________________________

1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/07/730277/pertahanan-skuad-b-20-makin-ampuh