Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Brendan Gan (kiri) dan Mohd.
Fitri Omar (kanan) telah didaftarkan tetapi nama Wan Zack Haikal Wan Noor
tercicir walaupun diperkenalkan sebagai pemain baharu Kelantan sebelum ini.
PETALING JAYA - Peminat Wan
Zack Haikal Wan Noor tidak akan menyaksikan pemain itu beraksi untuk baki musim
Liga Malaysia apabila namanya tidak berada dalam senarai pendaftaran kedua
skuad The Red Warriors.
Setakat ini, hanya Brendan Gan
dan Mohd. Fitri Omar sahaja didaftarkan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan
(Kafa) kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia
(FAM).
Menurut Naib Presiden FAM yang
juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Seri Afandi
Hamzah, pihaknya hanya menerima dua pendaftaran pemain tempatan oleh Kelantan iaitu
Mohd. Fitri Omar dan Brendan manakala Lim Choon Wee digugurkan.
"Setakat hari ini, kami
telah menerima pendaftaran dua pemain daripada pasukan Kelantan iaitu Brendan
Gan iaitu pemain yang baharu mendapatkan kerakyatan Malaysia dan Fitri Omar
yang berpindah dari pasukan ATM.
"Kami hanya mengesahkan
pendaftaran Gan dan Fitri sahaja dan saya tidak pasti sama ada Kafa gagal
mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) tetapi saya akan menyemak apa
yang berlaku serta mendapatkan kepastian dalam soal ini," katanya dalam
sidang akhbar di Wisma FAM semalam.
Tindakan Kafa itu jelas
menunjukkan mereka tidak yakin bekas pemain Harimau Muda A itu sempat pulih
daripada masalah kecederaan ACL setelah menjalani pembedahan pada Januari lalu
untuk bermain pada baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Wan Zack yang masih mempunyai
baki kontrak dengan kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu telah mengambil
keputusan untuk pulang ke tanah air dan Kelantan menjadi destinasi pilihannya
setelah Kafa sanggup menebus baki kontrak pemain yang berasal dari Maran,
Pahang itu.
Kelantan sebelum ini memiliki
24 pemain dan selepas mereka menggugurkan Choon Wee, mereka masih mempunyai
kuota tiga lagi pemain tempatan yang boleh didaftarkan kerana jumlah maksimum
pemain yang boleh dipunyai sesebuah pasukan adalah 26 orang.
Mengenai perkembangan lain,
Afandi memberitahu FAM telah menerima pendaftaran daripada pasukan-pasukan lain
sejak pintu pendaftaran pemain dibuka pada 23 Mac lalu.
Setakat hari ini (semalam)
beberapa pasukan telah membuat pertukaran (pemain) yang mana Sarawak telah
menukarkan dua pemain import mereka manakala pasukan-pasukan Liga Premier
(seperti) KL SPA, Felda United dan Sabah turut menukarkan pemain import mereka.
Begitu juga dengan Johor Darul
Ta'zim II (JDT II) yang mendaftarkan dua pemain tempatan baharu, Sabah seorang
pemain dan DRB Hicom FC seorang pemain," ujarnya.
Selain itu, Afandi berkata
jadual separuh akhir kedua Piala FA telah diubah bagi memastikan jadual Liga
Malaysia tidak terlalu ketat dengan memberi kelonggaran kepada pasukan yang
bertanding.
Kami telah meneliti semula
jadual pertandingan supaya tidak terlalu ketat dan bersetuju untuk meminda
tarikh separuh akhir Piala FA namun tidak melibatkan aksi separuh akhir pertama
yang tetap berjalan seperti yang dirancangkan pada 5 dan 6 Mei depan.
Namun, untuk timbal balik
kedua akan diadakan pada 30 dan 31 Mei manakala final Piala FA tahun ini akan
berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 Jun depan," katanya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140403/su_02/Red-Warriors-tak-daftar-nama-Wan-Zack#ixzz2xxeNijoz
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment