PENYERANG Brazil, Fred (depan)
meminta sepakan penalti, mendakwa dijatuhkan oleh pertahanan Croatia, Dejan
Lovren (kanan) dalam perlawanan pertama Kumpulan A di Stadium Corinthians, Sao
Paulo semalam. - AFP
SAO PAOLO - Bengang dengan
kekalahan 3-1 menentang Brazil pada perlawanan pembukaan semalam, penyerang
Croatia, Dejan Lovren menyifatkan penalti yang dikenakan terhadapnya sebagai
satu skandal dalam Piala Dunia 2014.
Croatia, pasukan bukan pilihan
untuk memenangi Piala Dunia kali ini, telah mendahului apabila Marcelo
menjaringkan gol ke gawang sendiri sebelum Neymar menyamakan kedudukan di depan
penyokong Brazil di Stadium Corinthians.
Bagaimanapun pasukan Eropah itu
bermain dengan bagus sehinggalah pengadil, Yuichi Nishamura menunjukkan ke arah
titik penalti selepas Fred berundur ke arah Lovren dan tumbang.
"Saya berpendapat pengadil
ini (Nishimura) tidak layak untuk berada di sini. Saya tidak pasti atas sebab
apa yang melayakkannya berada di sini. Situasi ini amat mengecewakan tetapi apa
yang boleh awak buat apabila menentang 12 pemain? Awak tidak boleh berbuat
apa-apa," kata penyerang Southampton itu.
Lovren juga berpendapat
tindakan Nishimura menghadiahkan sepakan penalti kepada Brazil adalah tindakan
berat sebelah dan sangat mendukacitakan.
"Saya kecewa, kerana kami
bermain dengan baik dan pengadil - itu bukan satu kesilapan, itu satu skandal.
Itu adalah skandal untuk semua, skandal untuk FIFA. Saya fikir pengadil ini
tidak seharusnya berada di sini," tambahnya.
Jurulatih pasukan Croatia, Niko
Kovac berkata, pengadil bertindak di luar kewarasan namun jurulatih pasukan
tuan rumah, Luiz Felipe Scolari mengatakan Nishimura bertindak betul dengan
memberikan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Neymar untuk menjadikan
kedudukan 2-1.
"Jika sesiapa menyokong
penalti diberikan, sila angkat tangan. Saya tidak boleh menyokong," kata
Kovac.Kovac berkata, dia merasakan pasukannya sekurang-kurangnya wajar mendapat
satu mata, dan memuji pemain-pemainnya atas prestasi mereka di hadapan
penyokong fanatik tuan rumah.
Katanya, dia tidak menyalahkan
Fred kerana tumbang, walaupun dia mempersoalkan mengapa pemain itu begitu mudah
terlantar di padang.
Scolari pula berkata pengadil
betul apabila memberikan sepakan penalti.
"Bagi saya, itu adalah
penalti. Saya melihatnya sebanyak 10 kali dan saya fikir itu adalah penalti,"
katanya.
Presiden Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa, (FIFA), Sepp Blatter kelmarin telah mencadangkan agar
pengurus-pengurus pasukan diberikan dua peluang membantah dalam setiap
perlawanan apabila mereka boleh memeriksa keputusan penting pengadilan menerusi
rakaman video.
Cadangan itu, yang dibuat pada
majlis penutup kongres FIFA, akan mengikuti sistem yang digunakan dalam tenis,
kriket dan badminton, seiring dengan pengenalan teknologi garisan gol dalam
kejohanan ini. – AFP
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 14.6.14
No comments:
Post a Comment