MANAUS - Cuaca panas lembap dan
padang yang teruk akan menambahkan lagi kehangatan perlawanan di antara England
dengan Itali dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D yang akan berlangsung di
bandar di tengah hutan Amazon ini (6 pagi waktu Malaysia).
Dengan juara Amerika Selatan,
Uruguay juga berada di dalam Kumpulan D, serta Costa Rica, kedua-dua pasukan
yang berada di bawah didikan Roy Hodgson dan Cesare Prandelli sedar bahawa
mereka tidak boleh kalah jika mahu mara ke kelompok 16 terakhir.
Kelembapan hutan hujan tersebut
yang meliputi hampir 80 peratus kawasan Manaus sedikit sebanyak dikhuatiri akan
menjadi faktor yang akan mengganggu tempo perlawanan dan kedua-dua pasukan
tiada pilihan lain selain perlu membiasakan diri dengan persekitaran sebegitu.
Ketua penjaga padang, Carlos
Botella mengakui bahawa gelanggang tersebut sebenarnya berada di dalam keadaan
yang teruk dan mereka terpaksa melakukan kerja-kerja kecemasan ekoran masa
yang tidak cukup pada Khamis lepas dan menggunakan pewarna hijau bagi menutupi
rumput yang kekuningan.
Kali terakhir kedua-dua pasukan
ini bertemu ialah di suku akhir Kejuaraan Eropah 2012 yang berlangsung di Kiev,
di mana perlawanan tersebut menyaksikan England tewas kepada Itali yang
menguasai perlawanan namun terikat 0-0 dan diheret ke sepakan penalti.
Penguasaan bola akan menjadi
kunci kepada perlawanan tersebut, namun penyerang England, Wayne Rooney yakin
bahawa pasukannya kini mempunyai senjata rahsia untuk melangsaikan perhitungan
yang dianggap masih belum tamat antara kedua-dua pasukan itu.
"Kami mempunyai tenaga dan
kelajuan di dalam pasukan, dan jika kami boleh tentukan masa yang sesuai,
pasukan kami pasti boleh menumbangkan pasukan lawan.
"Tetapi dalam bola sepak
peringkat antarabangsa, awak tidak boleh hanya tumpukan bahagian serangan
sahaja. Kami perlu lebih berhati-hati.
"Inilah kemuncak bola
sepak. Kami perlu mengikut perancangan yang telah dilakukan dan memilih masa
yang sesuai," ujar bintang penyerang Manchester United itu.
Sementara tanggapan bahawa
England mampu ke perlawanan akhir pada 13 Julai ini adalah rendah, Roy Hodgson
dilihat menurunkan skuad yang terdiri daripada pemain muda yang menyerlah dalam
kempen Liga Perdana Inggeris 2013-14 lepas.
Pemain tengah Everton, Ross
Barkley, 20, dan pemain bek kiri yang berusia 18 tahun, Luke Shaw akan bermula
di bangku simpanan, namun pemain lincah Liverpool berusia 19 tahun, Raheem
Sterling mungkin akan diturunkan di dalam kesebelasan utama bersama Wayne
Rooney dan rakan kelab, Daniel Sturridge.
Dengan masalah Danny Welbeck
yang dikhuatiri mengalami kecederaan paha dan Alex Oxlade-Chamberlain yang kini
di dalam proses pemulihan akibat cedera ligamen lutut, pemain Southampton iaitu
Adam Lallana dilihat bakal mengisi tempat kosong di bahagian sayap.
Rooney dan Sterling dilihat
bakal menjadi watak penting bagi formasi 4-2-3-1 yang digunakan England dan
sesiapa yang bermain akan mempunyai tugasan yang besar iaitu mengawal pemain
tengah mereka, Andrea Pirlo. - AFP
Lapan tahun selepas menjadi
perancang Itali yang menjuarai Piala Dunia pada 2006 di Jerman, Pirlo yang
berusia 35 tahun akan menjalani kempen Piala Dunia yang terakhir baginya pada
tahun ini. - AFP
Skuad The Azurri akan
berusaha memulihkan maruah selepas menunjukkan prestasi hambar ketika kempen
Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang menyaksikan skuad itu kecundang awal di
peringkat kumpulan.
Itali bermula perlahan dalam
perlawanan pemanas badan sebelum ini, bertemu Ireland dan Luxembourg, namun
Pirlo menegaskan bahawa mereka sudah bersedia untuk bertemu England.
"Kami tahu England adalah
sebuah pasukan yang hebat dan mempunyai ramai bakat baharu serta pemain muda.
"Mereka mempunyai pemain
yang pantas namun kami tahu bagaimana untuk berdepan dengan mereka kerana telah
mengkaji corak permainan England sejak beberapa hari lepas.
"Itali kerap kali berdepan
dengan tentangan yang hebat daripada England, jadi kami akan berikan yang
terbaik dalam perlawanan itu nanti dengan cara kami tersendiri," ujar
Pirlo yang membantu Juventus menjuarai Serie A musim lalu.
Skuad Itali yang tiba di Manaus
pada Jumaat lepas, berdepan dengan masalah kecederaan sama seperti skuad
England, dengan Marco Verratti mendapat demam dan penjaga gol simpanan,
Salvatore Sirigu dilanda kecederaan tulang rusuk.
Di bawah kendalian Prandelli,
Itali telah mencuba beberapa jenis sistem. Mereka dijangka menggunakan formasi
4-1-4-1 untuk menyerang balas formasi lebar England, dengan penyerang Mario
Balotelli akan menggalas tugas sebagai penyerang solo. - AFP
Rujukan-
Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140614/sl_07/England-Itali-bertembung-di-hutan-Amazon#ixzz34cSy7e4i
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment