Oleh Sufian Abdul Hadi sukan@utusan.com.my
MOHD. Shukor Adan (kanan) turun
dengan misi menghadiahkan kejuaraan sulung buat Felda, manakala Mohd. Razman
Roslan mahu mengembalikan Piala FA kepada Pahang selepas 8 tahun.
SHAH ALAM - Mohd. Shukor Adan
turun bersama misi untuk membantu Felda United melakar sejarah merangkul
kejuaraan Piala FA buat kali pertama, manakala Mohd. Razman Roslan mahu
mengembalikan trofi itu kepada Pahang selepas kali terakhir mereka memenanginya
pada 2006.
Biarpun Felda dilabel sebagai
pasukan underdog, Shukor percaya, status tersebut membuatkan dia lebih
bersemangat untuk membuktikan skuad The Fighters mampu melakar kejutan.
Pemain tengah yang berasal dari
Melaka itu mengakui, semangat pasukannya kini membara setelah dianggap pasukan
bukan pilihan dalam perlawanan di Shah Alam, malam ini.
"Bagi saya, dilabel
sedemikian tidak memberi masalah untuk jadi juara. Sebelum ini pun mereka tak
jangka kami layak sehingga ke tahap ini.
"Ini membuktikan meskipun
berstatus kelab, kami dapat menjalankan tugas yang terbaik untuk The Fighters.
Memang ramai yang ramal Pahang akan menang, tapi itu tidak mematahkan semangat
kami," kata kapten The Fighters itu pada sidang akhbar menjelang final
Piala FA di Stadium Shah Alam, semalam.
Sementara itu kapten Pahang,
Razman mahu rakan-rakan sepasukan beraksi pada tahap terbaik bagi memastikan
Tok Gajah dapat menjuarai Piala FA selepas kali terakhir memiliki trofi
tersebut, lapan tahun lalu.
Pemain pertahanan itu berkata,
jenteranya sudah bersedia sepenuhnya dan menasihatkan mereka supaya tidak
memandang rendah kepada The Fighters.
"Memang kami tidak sabar
untuk beraksi di final dan pemain telah bersedia dari segi mental, fizikal dan
emosi.
"Kita perlu fokus setiap
minit. Masing-masing perlu bertanggungjawab dalam menjalankan tugas," kata
pemain berusia 29 tahun itu.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140607/su_01/Misi-berbeza-2-kapten#ixzz33ufLjPkm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment