Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
NASIHIN (kanan) sudah bersama
skuad hoki wanita negara sejak lima tahun lalu.
TIMBALAN Presiden Konfederasi
Hoki Malaysia (MHC), Profesor Dr. S. Shamala berkata, pihaknya perlu melihat
setiap faktor sebelum menilai ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin
Nubli Ibrahim.
Ini kerana Shamala yang sudah
lima tahun bersama dengan Nasihin membentuk kejayaan pasukan wanita negara
menghuni ranking ke-21 dunia ketika ini mengakui pengendali berusia 40 tahun
itu tidak boleh dinilai tanpa sebab-sebab kukuh.
“Semua pihak bertanggungjawab
kena lihat berapa sumber yang kita bagi kepada pasukan dan pendedahan pemain,
barulah kita boleh nilai dia selepas semua faktor diambil kira. Kita tak boleh
nilai seumpama pasukan ini mendapat segala-galanya.
“Nasihin seorang yang berani
menegakkan apa yang dimahukan. Ini adalah sesuatu yang MHC perlu buat. MHC
perlu ambil masa untuk melakukan dengan cara yang betul dan saintifik sebelum
sebarang keputusan dibuat.
“Jangan kerana ada
jawatankuasa, selepas itu semua orang salah faham. Kita perlu bersikap adil
kepada semua orang, bukan sekadar Nasihin sahaja,” katanya kepada Kosmo!
semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan
Nasihin menyerahkan nasibnya kepada MHC dan sedia berundur jika khidmatnya
tidak lagi diperlukan mengendalikan The Blue Tigress memandangkan kontraknya
bakal tamat pada Disember depan.
Luahan hasrat bekas penjaga gol
Skuad Olimpik 2000 itu berikutan tindakan MHC yang mahu melakukan rombakan
besar-besaran terhadap barisan kejurulatihan skuad hoki negara termasuk lelaki
dan wanita demi kemajuan sukan tersebut pada masa depan.
Sebagai contoh, Shamala yang
lebih berminat menyentuh perihal skuad wanita berkata, mereka mahu menjadikan
Malaysia sebagai empat pasukan terbaik Asia dengan melayakkan diri ke pusingan
separuh akhir Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.
Justeru itu, beberapa perubahan
perlu dilakukan bagi mencapai hasrat tersebut tetapi pada masa sama Shamala
berharap MHC dapat melakukan kajian terperinci sebelum memutuskan sebarang
keputusan kelak.
“Apabila mahu berada dalam
kedudukan empat terbaik Sukan Asia 2018, kita perlu ada banyak perlawanan
pendedahan selain melihat kelebihan dan kekurangan jurulatih sedia ada. Ambil
konsultan atau tukar jurulatih baharu.
“Secara peribadi, ia bukan satu
desakan atau tergesa-gesa. Namun, kita perlu berhenti buat keputusan tanpa
mengkaji apa sebenarnya yang sedang berlaku kerana perkara ini tak susah pun
untuk kita dapat dalam zaman saintifik sekarang,” jelasnya.
Difahamkan, buat masa ini,
bekas konsultan skuad hoki negara yang tamat kontrak bulan lalu, Neil Hawgood
dari Australia dikatakan merupakan calon hangat menggantikan ‘kerusi’ Nasihin
bersama pasukan wanita.
MHC dijangkan memutuskan
sebarang keputusan berkaitan barisan kejurulatihan skuad hoki wanita termasuk
lelaki dan pasukan remaja selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Sebagai rekod, biarpun dengan
dana sedikit dan kurang pendedahan dari segi latihan di luar negara, namun
skuad wanita masih berupaya memberi saingan kepada pasukan-pasukan lawan
seperti ketika meraih tempat ketiga Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di New
Delhi, India, Mac lalu.
Lebih manis, The Blue Tigress
kekal menjadi pasukan No. 1 Asia Tenggara sejak 1997 lalu selepas sekali lagi
berjaya mengekalkan pingat emas Sukan SEA di Singapura bulan lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3fshxknbB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment