Ad

Tuesday, 28 July 2015

Sokong guna pemain naturalisasi

MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI DAN ZAZALI JAMIAN  |  27 Julai 2015 12:50 AM
Patrick RONALDINHO (kanan) diasak oleh pemain  Liverpool, Martin
PATRICK RONALDINHO (kanan) diasak oleh pemain Liverpool, Martin Skrtel dan penjaga gol Adam Bogdan dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Jumaat lalu. Ronaldinho memberi impak kepada skuad Pilihan Malaysia apabila menjaringkan gol pendahuluan perlawanan. utusan/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju bahawa skuad kebangsaan memerlukan pemain naturalisasi andai tindakan itu mampu memberikan impak positif kepada pembangunan bola sepak negara.
Setiausaha Agung FAM dan juga pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, langkah itu mungkin diambil sekiranya FAM berasakan pengambilan pemain naturalisasi mampu meningkatkan tahap bola sepak negara dan skuad negara dapat memberi saingan di peringkat antarabangsa selain dilakukan sebagai salah satu cara membangunkan bola sepak negara.
“Sekiranya bagus untuk pembangunan bola sepak apa salah­nya. Kita di pihak FAM menyokong pengambilan pemain naturalisasi sebagai salah satu cara untuk me­ningkatkan prestasi bola sepak negara, tetapi harus diingat pengambilan pemain itu perlu mendapat kelulusan kerajaan.
“FAM tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil langkah itu dengan sendiri tanpa kelulusan pihak kerajaan kerana yang memberi status warganegara bukan kita tetapi kerajaan.
“Pendekatan yang kini diambil FAM adalah mengambil pemain yang mempunyai pertalian darah dari ayah, ibu, datuk, nenek atau sebagainya seperti Junior Eldstal, Brendan Gan dan Matthew Davies yang memudahkan kita dalam urusan membuat pasport dan kad pengenalan sebagai warganegara Malaysia,” katanya kepada pembe­rita semasa majlis rumah terbuka Aidilfitri Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria di Petaling Jaya, dekat sini semalam.
Kelmarin jurulatih skuad negara Dollah Salleh meluahkan pandangannya bahawa kejayaan skuad Pilihan Malaysia mempamerkan aksi meyakinkan menentang gergasi Liga Perdana Inggeris, Liverpool membuktikan pemain luar mampu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.
Ini terbukti apabila lima pemain import dalam Liga Super dan Perdana iaitu dua pe­nyerang Patrick Ronaldinho dan Charles Souza Chad, dua pertahanan Vincent Bikana serta Thiago Ju­nior Aquino dan seorang pemain tengah Zah Rahan Krangar untuk memperkuatkan cabaran Pilihan Malaysia dapat membantu skuad negara melakar keputusan seri 1-1 dengan The Reds.
Semua pemain itu memberi sumbangan besar, terutama Ronaldinho yang menjaringkan gol pendahuluan manakala kehadiran Bikana serta Thiago yang tegap menjadi penghalang utama skuad kendalian Brendan Rodgers daripada menembusi pertahanan skuad negara.
Bagaimanapun Hamidin berkata perkara itu perlu dibincangkan oleh exco FAM dan mendapat persetujuan sebelum dicadangkan kepada kerajaan.
“Perkara ini perlu diperhalusi dahulu dan mendapat persetujuan semua exco FAM. Selepas itu baru kita bawa usul ini kepada kerajaan.
“Kalau kerajaan benarkan maka bagus untuk bola sepak kita tetapi ditekankan di sini perkara itu bukan menjadi keutamaan kerana kita ada banyak lagi perancangan masa panjang.
“Pembangunan akar umbi adalah lebih mustahak dan kita ada lagi pemain naturalisasi yang ada pertalian darah dengan negara bakal dibawa pulang. Siapa pemain itu kita akan beritahu kemudian,” jelasnya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sokong-guna-pemain-naturalisasi-1.117377#sthash.Y76PatOY.dpuf

No comments:

Post a Comment