Ad

Friday, 3 July 2015

Laluan ke Rio kembali terbuka


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH

SKUAD hoki negara kembali menarik nafas lega selepas meraih kemenangan 4-1 ke atas Perancis semalam.

PELUANG Malaysia untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan kembali terbuka selepas menewaskan Perancis 4-1 pada aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Antwerp, Belgium semalam.

Kemenangan pada aksi getir itu membuka semula pintu buat skuad hoki negara yang perlu meraih sekurang-kurangnya tempat kelima terbaik bagi menamatkan kemarau 16 tahun gagal beraksi di Olimpik.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, The Speedy Tigers yang menang sembilan kali, tiga seri dan lima kalah, ia dilihat tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan pasukan ranking ke-18 dunia itu.

Beraksi di Brasschaart, skuad bimbingan Tai Beng Hai yang menghuni ranking ke-12 dunia itu terlebih dahulu ketinggalan apabila Perancis membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi gol padang Jean-Lauren Kieffer.

The Speedy Tigers bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian melalui Muhamad Haziq Samsul yang memanfaatkan peluang terbuka di depan gawang gol Perancis.

Asakan bertali arus Malaysia ke gawang Perancis akhirnya berhasil apabila Meor Muhammad Azuan Hasan bijak menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan bagi menggandakan kedudukan pada minit ke-37.

Tidak terhenti di situ, giliran Faizal Saari pula meledak gol ketiga Malaysia sebelum kapten pasukan, Muhammad Razie Abd. Rahim memastikan kemenangan selesa 4-1 menerusi pukulan penalti pada suku masa terakhir perlawanan.

Terdahulu, Malaysia melepaskan peluang terbaik untuk layak secara automatik apabila tewas 2-3 kepada India pada aksi suku akhir kelmarin.

Namun, kemenangan ke atas Perancis membolehkan Malaysia bertemu Ireland sekali lagi yang mengalahkan Pakistan 1-0 semalam, pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam esok.

Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan ke atas pasukan No. 14 dunia itu selepas menang 4-2 pada aksi kedua peringkat Kumpulan B baru-baru ini, namun rekod lalu tidak boleh dijadikan ukuran.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Hoki Dunia (FIH), tuan rumah Sukan Olimpik 2016, Brazil yang menghuni ranking ke-37 dunia, cuma perlu meraih tempat keenam pada kejohanan benua Amerika untuk layak ke temasya sukan terbesar di dunia itu.

Skuad bimbingan Beng Hai pastinya tidak rela mengharapkan ihsan Brazil untuk layak ke Rio, justeru, walau apa cara sekali pun Malaysia perlu menang ke atas Ireland esok.




SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3eradyUYW Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment