Ad

Friday, 31 July 2015

Pandelela mendapat semangat baharu


 

Pandelela mendapat semangat baharu
Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH

PANDALELA lega kerana sudah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Rio tahun depan.
RATU terjun negara, Pandelela Rinong meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu wanita pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA ke-16 di Kazan, Rusia kelmarin.

Namun, detik manis buat gadis Bidayuh dari Bau, Sarawak itu berjaya dilengkapkan apabila mengesahkan tiketnya ke temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil sebaik mara ke pusingan akhir acara kegemarannya itu kelmarin.

Pandelela menyifatkan kejayaan itu merupakan impian yang ditunggunya selama ini kerana pingat gangsa tersebut merupakan pingat pertama yang dimenanginya dalam acara kegemarannya pada kejohanan dunia.

“Cabaran untuk merangkul pingat pada kejohanan tersebut agak sukar kerana terdapat ramai penerjun hebat seperti dari China, Kanada, Australia dan Ukrain.

“Apa yang saya boleh katakan, ramai penerjun terbaik dunia turut layak ke separuh akhir dan mereka mempunyai daya saingan yang kuat serta darjah kesukaran terjunan yang tinggi. Malah, kali ini ramai penerjun muda yang turut memberi cabaran yang sengit dalam acara 10m platform.” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, selepas kejohanan tersebut, mereka akan meneruskan latihan dan memperbaiki segala kelemahan yang ada bagi mempersiapkan diri menghadapi Sukan Olimpik nanti.

“Sebaik berakhirnya kejohanan di Kazan, kami akan meneruskan latihan di Malaysia bagi melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Terjun Piala Asia,” jelasnya.

Dalam acara tersebut, Pandelela menampilkan aksi konsisten dalam empat daripada lima terjunannya untuk membolehkan Malaysia mengutip pingat pertama acara individu kejohanan ini.

Atlet kelahiran Sarawak itu melakukan terjunan pertamanya dengan mengumpul 75 mata sebelum membuat kesilapan pada terjunan kedua menyebabkannya hanya mengutip 65.25 mata.

Bagaimanapun, Pandelela bangkit semula dalam tiga terjunan terakhir dengan masing-masing menyumbang 81.60 mata, untuk mengumpulkan keseluruhan 385.05 mata yang sudah cukup untuk membolehkannya meraih gangsa.

Penerjun muda dari Korea Utara, Kim Kuk Hyang muncul juara dengan mengutip 397.05 mata manakala perak dimenangi atlet China, Qian Ren dengan 388.00 mata.

Sebagai rekod, Pandelela pernah memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform individu wanita pada Sukan Olimpik 2012 di London dan beliau juga menjuarai acara yang sama pada Kejohanan Terjun Siri Dunia 2015 di Windsor dan Kejohanan Dunia Rom, Itali ketika berganding dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama pada 2009 serta Barcelona, Sepanyol 2013.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3hX9mAFMy Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment