Ad

Friday, 3 July 2015

Wajib sambar tempat kelima


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
PEMAIN negara, Azlan Misron (kanan) cuba menghalang kemaraan pemain India pada aksi suku akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium awal pagi semalam yang berkesudahan skuad negara tewas 2-3.

MALAYSIA mensia-siakan peluang untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Antwerp, Belgium sejurus tewas 2-3 kepada India pada aksi suku akhir di Stadium KHC Dragons awal pagi semalam.

Kekalahan itu menutup peluang The Speedy Tigers merebut satu daripada tiga slot automatik yang ditawarkan pada kempen di Brasschaart kali ini untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan.

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai meluahkan kekecewaan terhadap ‘penyakit’ lama yang sering menghantui barisan pemain negara iaitu rentak tidak konsisten sebaik perlawanan memasuki minit-minit terakhir.

“Kita tidak bermula dengan bagus walaupun pada suatu ketika berjaya mendahului India 2-1 selepas ketinggalan 0-1 sebaik perlawanan berlangsung. Ketika mendahului lawan, kita gagal membunuh atau mengawal perlawanan ini. Secara keseluruhan, persembahan kita tidak konsisten.

“Kita berpeluang meraih kemenangan tetapi barisan serangan tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang yang di­cipta,” katanya kepada Kosmo! semalam.

India yang menduduki ran­king kesembilan dunia, membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang Satbir Singh sebelum kapten Malaysia, Muhammad Razie Abd. Rahim mengikat kedudukan melalui pukulan sudut pe­nalti pada penghujung suku masa pertama.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-12 dunia, berjaya mendahului 2-1 menerusi penyerang, Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-23 selepas menolak masuk set-piece menarik daripada Razie berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Hasrat Malaysia untuk mempertahankan kelebihan satu gol itu tidak berjaya apabila pakar flick India, Jasjit Singh Kular memanfaatkan pukulan sudut pe­nalti bagi menyamakan keduduk­an pada minit ke-49.

Jasjit menjadi pemusnah ter­hadap hasrat Malaysia apabila dia sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin dengan gol kemenangan ketika perlawanan berbaki empat minit.

Biarpun terpaksa menelan kekecewaan, namun atas kertas, pintu buat skuad negara masih belum tertutup dan terpaksa memilih jalan sukar apabila wajib mendapat tempat kelima sekiranya mahu beraksi di Rio tahun depan.

Malaysia perlu beraksi dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan dengan bertemu Perancis hari ini sebelum berentap merebut kedudukan kelima terbaik dengan pemenang antara Pakistan dan Ireland, Ahad depan.

Jika berjaya, Malaysia akan menjadi pasukan simpanan ketiga terbaik di belakang Kanada dan Argentina untuk mengisi slot kosong yang ditinggalkan juara benua masing-masing selepas ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3epE7IYA7 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment