Ad

Friday, 10 July 2015

Pusat Tingkatan Enam ubah persepsi pelajar

KHAMIS, 9 JULAI 2015 @ 10:20 AM

Oleh P Kamalanathan kamalanathanp@gmail.com 
PEMBELAJARAN Tingkatan Enam bagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga mampu memberi ruang dan peluang terbuka yang terbaik kepada pelajar melonjak prestasi mereka. Setiap pelajar juga masih mempunyai ruang luas menjejakkan kaki ke menara gading selepas menamatkan dua tahun di Tingkatan Enam. Persepsi individu, keluarga dan masyarakat yang memandang 'sinis' terhadap pelajar Tingkatan Enam perlu dikikis segera kerana apa yang diperkatakan itu sememangnya tidak benar sama sekali.

       Pengalaman saya melanjutkan pelajaran Tingkatan Enam yang juga dikenali Prauniversiti (pra-U) amat menarik untuk dikongsi bersama bagi memberi suntikan semangat kepada pelajar seluruh negara. Usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan Pusat Tingkatan Enam (PTE) juga dilihat mampu meningkatkan kedudukan sistem pendidikan itu setaraf dengan program lanjutan pembelajaran peringkat matrikulasi dan diploma di semua universiti awam dan swasta. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melancarkan PTE baru-baru ini juga mempunyai hasrat sama memberikan ruang pembelajaran arus perdana selesa, kondusif dan terbaik kepada pelajar.

       Lima fokus utama diberi perhatian iaitu imej dan anjakan minda, infra dan info struktur, pengurusan pentadbiran, mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta kurikulum. Ia selaras bagi memastikan pelajar Tingkatan Enam dapat mengembangkan bakat serta kreativiti mereka untuk menjadi generasi muda berimpak tinggi, glokal dan universal yang membawa kesejahteraan kepada negara. 

Guru terbaik dan pakar 
Ada 13 PTE yang diwujudkan bagi menyediakan ruang kepada 44 sekolah bergabung bersama untuk menempatkan pelajar terpilih. Kementerian menyediakan guru yang terbaik dan pakar dalam setiap mata pelajaran untuk menyediakan perkhidmatan cemerlang kepada pelajar mereka. Apa yang penting ialah pelajar perlu ikhlaskan diri, tekun dan cekal hati meneruskan pengajian mereka di Tingkatan Enam bagi mencapai kecemerlangan dengan skor gred purata mata penuh (4.0) bagi semua pelajaran diambil itu. 

     Pastinya medan perjuangan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mampu memberikan dimensi baharu yang lebih terbuka kepada pelajar melanjutkan pengajian bidang khusus peringkat ijazah di semua universiti pilihan. Kini 'satu nafas baharu' mampu dinikmati oleh ruang pembelajaran PTE yang lebih menarik dan berdaya maju secara holistik. Ramai pelajar lebih berminat memilih pembelajaran Tingkatan Enam. Banyak manfaat dan kelebihan diperoleh pelajar yang menduduki kelas Tingkatan Enam ini berbanding mereka yang memilih pengajian peringkat diploma di beberapa universiti dan kolej awam dan swasta. Pelajar tidak perlu membayar yuran pendaftaran awal (kira-kira RM1,000) dan yuran pengajian sekitar RM15,000 hingga RM20,000 secara keseluruhannya. Selain itu, mereka tidak perlu membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) yang perlu dibayar semula untuk peringkat diploma. 

Sistem pendidikan berubah 
Perlu diingatkan juga bahawa STPM adalah setaraf dengan program matrikulasi dan diploma bagi syarat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti. Sijil peringkat pengajian itu diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam. Sistem pendidikan di Tingkatan Enam mengalami perubahan sekitar tahun 2012. Sistem pendidikan ini beralih dari sistem STPM Terminal kepada sistem STPM Baharu (Modular). Sistem STPM baharu ini membahagikan pengajian di Tingkatan Enam kepada tiga penggal iaitu bermula dari penggal pertama, penggal kedua, dan penggal ketiga. Setiap satu penggal mengambil masa selama sekitar enam bulan dan di akhir setiap penggal, calon wajib menduduki peperiksaan STPM. Contohnya, penggal pertama bermula pada Jun 2015 dan berakhir pada November 2015, calon akan menduduki peperiksaan STPM penggal satu pada akhir pengajian penggal satu. Beri pendedahan kepada pelajar Sistem penggal yang diperkenalkan secara umumnya adalah untuk mendedahkan pelajar Tingkatan Enam mengenai kehidupan sebenar ketika melangkah ke universiti. Sistem penggal ini lebih mudah kerana tidak perlu menunggu masa selama satu setengah tahun bagi menduduki peperiksaan. 

     Sebaliknya, hanya enam bulan belajar dan diakhiri dengan peperiksaan pada setiap penggal. Namun, ramai pelajar yang agak terkandas pada peperiksaan STPM penggal satu dengan alasan kurang bersedia dan sebagainya. Oleh itu, tumpuan dan fokus pada awal pengajian amat penting kerana tempoh pengajian bagi satu-satu penggal adalah pendek berbanding STPM dulu. Peperiksaan STPM setiap penggal diadakan untuk menilai sejauh mana pemahaman pelajar pada penggal berkenaan. Keputusan peperiksaan STPM akan dikeluarkan pada setiap awal bulan penggal yang seterusnya. Pelajar yang gagal atau mendapat keputusan kurang memuaskan boleh mengambil peperiksaan ulangan sekali lagi untuk memperbaiki gred dan 'pointer' peperiksaan. Setiap penggal akan menyumbang 'pointer' yang akan dikumpulkan dan dikira pada akhir ketiga-tiga peperiksaan ini untuk mendapatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) peperiksaan STPM yang sebenar. Kerja Kursus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan di Tingkatan Enam turut menyumbang peratusan yang akan mempengaruhi keputusan keseluruhan STPM. PBS harus dilaksanakan dengan sebaiknya agar ia dapat membantu meningkat markah peperiksaan STPM. Penjenamaan semula PTE juga menyaksikan beberapa perubahan lain termasuk pelajar tidak perlu memakai uniform sekolah tetapi berpakaian kemas seperti pelajar Diploma dan Matrikulasi. Dapat dijelaskan bahawa pelajar yang memilih memasuki Tingkatan Enam mendapati program pengajian itu mampu membentuk mereka menjadi lebih dewasa dan mempunyai pemikiran kreatif, selain bersedia memasuki institusi pengajian tinggi selepas memperoleh keputusan baik dalam STPM. Berdasarkan statistik pada tahun 2008, bilangan calon yang menduduki SPM adalah 442,936 dan daripada jumlah itu, 12.2 peratus mendapat tempat di tingkatan enam, 9.16 peratus di politeknik, 2.07 peratus di kolej komuniti dan 4.02 peratus di matrikulasi KPM. Sejumlah 72.53 peratus lepasan SPM tidak dapat dikesan sama ada melanjutkan pengajian ke institusi swasta, agensi kerajaan lain, ke luar negara atau tidak meneruskan pengajian. Data itu jelas menunjukkan bilangan pelajar ke Tingkatan Enam rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan lepasan SPM tahun 2008. Walaupun bilangan lepasan pelajar SPM tahun 2008 besar dan meningkat setiap tahun, mereka yang mahu meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam sangat kurang. Mengikut kajian dilakukan pada tahun 2011 oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), antara faktor mengapa Tingkatan Enam kurang mendapat perhatian ialah tiada galakan keluarga, suasana Tingkatan Enam yang masih seperti sekolah, faktor guru tidak menggalakkan, tanggapan orang luar, tiada kebebasan dan gaya hidup tidak sama seperti di kolej. Melalui kajian itu, cadangan penambahbaikan turut dicadangkan termasuk membuat perbandingan dan contoh dengan negara luar, mewujudkan institusi pusat Tingkatan Enam, menyelaraskan minda termasuk guru mengenai Tingkatan Enam, kaedah pembelajaran mengikut sistem universiti, menukar pada sistem semester dan mengubah cara penampilan berpakaian. Dalam konteks ini, pembaharuan dibuat tepat pada masanya bagi membantu mengubah persepsi yang sudah lama membelenggu Tingkatan Enam. Tingkatan Enam perlu melalui anjakan perubahan, selain pelajar dan masyarakat juga perlu mengubah minda dengan melihatnya sebagai peluang terbaik menyambung pelajaran. Pelajar dulu sudah membuktikan mereka berjaya melalui Tingkatan Enam. Justeru, melalui penambahbaikan ini diharap mengembalikan semula kegemilangan Tingkatan Enam.
 

SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/66781

No comments:

Post a Comment