Ad

Wednesday, 15 July 2015

Nwakaeme tetap mahu beraksi

Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang import Pahang Dickson Nwakaeme tetap berhasrat untuk beraksi bersama pasukan Pilihan Malaysia menentang kelab Liga Perdana Inggeris Liverpool dalam perlawanan persahabatan 24 Julai ini meskipun pasukannya keberatan untuk melepaskannya.

Pemain berusia 29 tahun dari Nigeria itu antara lima pemain import yang dipanggil jurulatih Dollah Salleh untuk memperkuatkan pasukan bagi aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Namun ada kemungkinan hasrat Nwakaeme yang menjadi tonggak kejayaan skuad Tok Gajah menerajui Liga Super ketika ini untuk bermain dalam perlawanan itu mungkin tidak kesampaian apabila pihak pengurusan pasukan dikatakan bimbang untuk membiarkan ‘orang besi’ itu atas faktor jadual padat dan risiko kecederaan.



“Setakat ini saya belum diberitahu mengenai perkara ini (tidak dibenarkan beraksi). Pada saya ia perlawanan yang diimpikan untuk setiap pemain kerana ia boleh menguji sejauh mana kemampuan anda berdepan pemain berkelas dunia.

“Sama ada main atau tidak, sesiapa saja boleh cedera. Ketika berlatih juga boleh cedera jadi cara terbaik adalah berdoa kepada Tuhan agar tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Semalam Arena Metro melaporkan mengenai kemungkinan dua pasukan Selangor dan Pahang tidak melepaskan pemain bersama skuad kendalian Dollah bermula Ahad ini atas alasan keletihan dan kecederaan pemain serta jadual liga padat sebaik saingan bersambung selepas cuti hari raya.

Pemain terbabit adalah Ahmad Hazwan Bakri, Afiq Azmi dan Robert Cornthwaite (pemain import) dari Selangor manakala Pahang pula Azzamuddin Akil, Razman Roslan, Khairul Azhan Khalid dan Nwakaeme.

Sebelum itu, kapten dan pertahanan Pahang Razman lebih awal meminta pengecualian kerana mengakui tidak bersedia menggalas tanggungjawab bersama pasukan itu.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin kelmarin menegaskan pemain tempatan wajib melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan kerana tertakluk dalam Statut FAM.

Nwakaeme berkata, beliau tidak terkejut apabila namanya disenaraikan oleh Dollah kerana baginya, apa saja boleh berlaku dalam bola sepak.

“Apabila saya dipanggil menyertai pasukan ini, ia satu penghargaan kepada saya atas apa yang saya lakukan selama ini,” katanya yang meminati bekas kapten Liverpool Steven Gerrard.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:02 AM


- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/64489#sthash.b1VZ1TPG.dpuf

No comments:

Post a Comment