Ad

Tuesday 14 July 2015

Ulangi prestasi 2011 – Safee

 Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
TIDAK dinafikan sebahagian besar peminat tegar sukan bola sepak Malaysia masih terbayang aksi yang cukup menghiburkan antara Harimau Malaya menentang kelab Liga Perdana England, Liverpool pada 2011 lalu.

Perlawanan tersebut menyaksikan sembilan gol dijaringkan oleh kedua-dua pasukan sehingga membuatkan penonton tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Penjaring gol kedua dan ketiga pasukan negara pada perlawanan tersebut, Mohd. Safee Sali menggesa barisan pemain Pilihan Malaysia agar mengulangi aksi pada 2011 itu apabila melayan kunjungan Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Julai ini.

Safee yang tidak tersenarai dalam skuad bimbingan Dollah Salleh pada kali ini mahu barisan pemain muda yang diturunkan nanti memberi tentangan sengit kepada skuad The Reds yang dalam rangka jelajah pramusim ke Asia.

“Saya tidak kecewa atau terkilan walaupun tidak disenaraikan dalam skuad kali ini. Saya sentiasa terbuka dengan keputusan yang dibuat oleh jurulatih, jadi tiada masalah bagi saya.

“Mungkin Dollah ada perancangan tersendiri. Apa yang saya harapkan agar semuanya berjalan dengan lancar dan pemain yang diturunkan nanti mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Saya harap mereka memperoleh pengalaman berguna daripada perlawanan itu selain bermain bersungguh-sungguh pada pertemuan itu nanti,” kata Safee ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain itu, bekas penyerang kelab Pelita Jaya itu juga mahu barisan pemain muda yang diturunkan pada perlawanan itu nanti agar memanfaatkan peluang bagi meningkatkan gaya permainan masing-masing.

“Bagi saya, aksi menentang Liverpool bukanlah medan sebenar untuk kita nilai kemampuan pasukan negara kerana skuad The Reds itu merupakan sebuah kelab ternama dan kehadiran mereka juga sekadar sesi untuk memanaskan badan sebelum saingan Liga Perdana England bermula pada 8 Ogos depan.

“Bagaimanapun, pemain-pemain muda yang diturunkan nanti harus guna peluang keemasan ini untuk menimba pengalaman dan diharapkan kita tidak mengalami kekalahan teruk,” tegas Safee lagi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3frvnUF62 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment