Ad

Tuesday 14 July 2015

Schneiderlin pilih ke Old Trafford


 


SCHNEIDERLIN menjadi pemain keempat yang sah menyertai United musim depan dan dilihat mampu memperkuatkan barisan tengah kelab itu.

LONDON – Pemain tengah baharu Manchester United, Morgan Schnei­derlin mengakui peluang yang ditawarkan untuk menyertai skuad bimbingan Louis van Gaal itu terlalu menarik untuk ditolak.

Bekas pemain tonggak Southamp­ton itu mengesahkan menyertai skuad The Red Devils selama empat tahun. Selain daripada itu, pada hari sama, United juga berjaya me­ngumpan Tobias Schweinsteiger yang merupakan nadi penting buat pasukan Bayern Munich.

Schneiderlin menegaskan bahawa mana-mana pemain yang menerima tawaran daripada United pasti tidak berupaya untuk menolaknya kerana mereka betul-betul menawarkan kon­trak yang begitu menarik.

“Saya sangat gembira menjadi salah seorang pemain United dan apabila saya dapat tahu yang United minat untuk menggunakan khidmat saya dan saya tanpa teragak-agak ber­setuju untuk sertai mereka.

“Saya gembira ketika menyarung jersi Southampton dan mereka akan terus kekal di hati saya. Namun, saya terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan mereka kerana menyertai United adalah tawaran yang begitu baik untuk masa depan saya sebagai pemain bola sepak.

“Selain itu saya juga sudah tidak sabar lagi untuk menyertai jelajah di Amerika Syarikat (USA).

“Saya juga tahu bahawa United memiliki peminat paling ramai di dunia dan saya sudah bersedia untuk menimba pengalaman bersama mereka,” kata Schneiderlin dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, van Gaal juga dilaporkan sangat gembira dengan kemasukan beberapa pemain baharu pada musim ini sambil menganggap perkara itu akan menjadikan United pasukan yang lebih kuat musim depan.

“Schneiderlin dan Schweinsteiger adalah pemain yang berbakat serta memiliki kebolehan yang boleh disesuaikan dengan pemain sedia ada. Ya, saya sangat gembira apabila kedua-duanya berjaya ditandatanga­ni sebelum jelajah USA bermula.

“Latihan yang akan diadakan nanti begitu penting sebagai persediaan untuk kami memulakan musim baharu.

“Selain itu semua pemain yang baru didaratkan itu boleh mengambil peluang ini untuk menunjukkan kebolehan sebenar mereka kepada para peminat,” katanya. – Agensi



Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz3fuTtI5d9 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment