Ad

Saturday 11 July 2015

Layak atau hilang Presiden

Tengku Abdullah berundur jika Malaysia gagal ke Piala Asia
SUFIAN HADI SOJAK  |  12 Julai 2015 12:19 AM
 TENGKU ABDULLAH
TENGKU ABDULLAH
KUALA LUMPUR - Tekanan Dollah Salleh dan skuad Harimau Malaya kini semakin hebat kerana mereka bukan saja bakal berdepan kritikan seandainya gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2019, malah akan menyebabkan kedudukan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terancam.
Semalam, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi bayangan sedia melepaskan jawatan Presiden badan induk bola sepak negara sekiranya skuad bimbingan Dollah Salleh gagal layak ke kejohanan yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Hasrat Tengku Abdullah itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin ketika membacakan teks ucapan Presiden selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM kali kelima bagi sesi 2014-2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Tengku Abdullah yang sepatutnya mempengerusikan mesyua­rat tersebut bagaimanapun tidak dapat menghadirkan diri berikutan mempunyai tugasan di Bahrain bersama Konfede­rasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Tuanku Pre­siden FAM (Tengku Abdullah) ada menyuarakan rasa kecewa de­ngan prestasi skuad Harimau Malaya.
“Kemungkinan besar beliau bersedia untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden jika pasukan kebangsaan gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019,” jelas Hamidin.
Tengku Abdullah sebelum ini dilantik menjadi Presiden FAM setelah memenangi kerusi No. 1 itu dalam pemilihan Kongres FAM ke-50 pada Mei tahun lalu selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menarik diri.
Beliau menewaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan keputusan 27-12 menerusi pengundian pusingan kedua.
Sejurus mengambil tampuk kepimpinan FAM, Tengku Abdullah menyuarakan pandangan agar semua pihak menilai prestasinya dalam tempoh empat tahun, namun ‘jodoh’ beliau dan badan bola sepak negara itu mungkin tidak panjang seandainya skuad Harimau Malaya terkandas di pusingan kelayakan.
Peluang tampak sukar buat Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2019 selepas dibelasah 0-6 oleh Palestin dalam perlawanan kelayakan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 Jun lalu, iaitu lima hari selepas mereka diikat 1-1 oleh Timor Leste dalam aksi Kumpulan A.
Malaysia akan bertandang ke Abu Dhabi untuk berdepan UAE dalam perlawanan ketiga kelayakan pada 3 September, diikuti menentang gergasi bola sepak Asia, Arab Saudi di Bukit Jalil 8 September.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/layak-atau-hilang-presiden-1.113039#sthash.JDhzYAkf.dpuf

No comments:

Post a Comment