02 Julai 2015 1:50 AM
PENYERANG Argentina, Gonzalo
Higuain (9) meraikan jaringannya
PENYERANG Argentina, Gonzalo
Higuain (9) meraikan jaringannya bersama Lionel Messi ketika menentang Paraguay
dalam perlawanan separuh akhir Copa America di Stadium Municipal Alcaldesa
Ester Roa Rebolledo di Concepcion, Chile semalam. Argentina menang 6-1. REUTERS
CONCEPCION, Chile - Argentina
mempamer persembahan terbaik mereka dalam Copa America setakat ini apabila
membelasah Paraguay 6-1 semalam untuk menempah perlawanan akhir klasik
menentang tuan rumah Chile pada Ahad ini.
Angel di Maria meledak dua gol,
manakala Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain turut
mencipta jaringan. Lionel Messi pula menjadi watak utama dalam mencipta gerakan
untul gol-gol yang diperoleh pasukannya.
Messi, 28, membuktikan
kehebatannya apabila menumpaskan tiga pertahanan lawan dan menggelecek bola di
bawah kaki salah seorang daripadanya sebelum melakukan larian pantas ketika
membantu Di Maria menjaringkan gol keempat perlawanan.
“Kami tahu gol itu akan hadir.
Kami beraksi dengan baik, mencipta peluang dan hari ini kami berjaya
menghasilkan jaringan,” kata Messi.
“Kami perlu komited untuk
mengekalkan corak permainan seperti ini. Pasukan mempamerkan ketepatan dan
efisien ketika mengasak gawang lawan,” kata jurulatih Argentina, Gerardo
Martino.
Gol saguhati Paraguay
dihasilkan oleh penyerang, Lucas Barrios yang dilihat berusaha keras untuk
melayakkan diri ke final Copa America buat kali kedua berturut-turut selepas
tewas kepada Uruguay empat tahun lalu.
Tuan rumah, Chile yang memburu
kejuaraan Copa America buat kali pertama kini menjadi penghalang terakhir skuad
La Albiceleste yang turun dengan misi menamatkan penantian 22 tahun tanpa
gelaran utama.
Berdasarkan rekod ketika
beraksi di Chile pada 1991, Argentina dilihat memiliki rekod bersih apabila
berjaya menjulang trofi kemenangan pada waktu itu selepas menumpaskan Brazil
dalam perlawanan akhir.
Dalam perlawanan separuh akhir
semalam, Argentina lebih mendominasi permainan, malah turut menguasai bola serta
mencipta banyak peluang sejak sepak mula. Gawang La Albiceleste cemas hanya
beberapa minit sebelum babak pertama tamat dan sebaik sahaja bermula separuh
masa kedua mereka terus bernafsu merobek gol lawan.
“Satu jumlah jaringan yang
besar, namun rakyat Paraguay berbangga dengan pasukan ini selepas mereka
memperlihatkan peningkatan dalam corak permainan.
“Saya sangat bangga dengan
mereka. Pemain saya rajin dan bekerja keras untuk memperbaiki kesilapan. Mereka
berjaya muncul empat pasukan terakhir dalam kejohanan ini. Kami menentang
pasukan terbaik di dunia. Mereka melebihi kami dalam segala aspek.,” kata
jurulatih Paraguay, Ramon Diaz yang mengambil alih pasukan pada Disember lalu.
Paraguay kehilangan dua tonggak
utama akibat cedera pada babak pertama iaitu pemain perancang, Derlis Gonzalez
pada minit ke-26 dan penyerang veteran, Santa Cruz empat minit kemudian.
Gonzalez menjadi watak penting ketika menumpaskan Brazil dalam aksi suku
selepas menjaringkan gol penyamaan serta menyempurnakan sepakan penalti. –
REUTERS
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/argentina-berpesta-belasah-paraguay-1.109652#sthash.vxzHjnqK.dpuf
No comments:
Post a Comment