Ad

Friday, 31 July 2015

Karim terima ugutan bunuh


 

Karim terima ugutan bunuh
Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
SEBUTIR peluru turut diletakkan dalam sampul surat ugutan bunuh yang dihantar kepada Karim semalam.

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sekali lagi terpalit dengan ‘isu gangsterism’ apabila presiden badan induk sukan olahraga negara itu, Datuk Karim Ibrahim menerima ancaman berbaur ugutan bunuh.

Karim telah menerima surat layang berbaur ugutan yang kandungan berbunyi ‘cukup jadi presiden, letak jawatan, jangan bertanding jawatan OCM (Majlis Olimpik Malaysia) dan ini amaran terakhir, jangan cabar saya’.

Selain itu, kandungan surat layang tersebut turut mengaitkan Karim dengan insiden tembakan terhadap Naib Presiden KOM, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed di kediamannya di Sungai Buloh tahun lalu.

Lebih mengejutkan, Karim turut menerima sebutir peluru didakwa merupakan satu amaran keras kepadanya yang diisi dalam sampul surat yang dihantar ke pejabat KOM di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Perkara itu disahkan Noorul Ariffin yang turut menemani Karim membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Buloh sejurus selepas menerima surat tersebut di kediamannya di Taman Sri Gombak.

“Saya amat terkejut dengan perkara ini kerana ia merupakan kali kedua insiden seperti ini berlaku dengan KOM. Saya amat kecewa kerana berlakunya pelbagai ugutan dalam dunia sukan tanah air.

“Mungkin ia berkaitan dengan jawatan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM yang dijadualkan berlangsung pada September nanti. Kami hanya sukarelawan sahaja, tidak menerima gaji pun. Kenapa mereka gilakan kuasa sehingga sanggup melakukan ugutan seperti ini?

“Sekarang mereka gunakan cara mafia seperti ini, apabila kami lepaskan jawatan, mereka akan ambil alih. Saya fikir ia kerja orang yang sama ketika saya ditembak tahun lalu.

“Dia (Karim) mula berasa takut dengan ugutan seperti ini, sebelum ini dia sudah mula takut-takut selepas kes tembakan terhadap saya tahun lalu dan sekarang dia sendiri terima ugutan, dia perlu berjaga-jaga,” kata Noorul Ariffin kepada Kosmo! semalam.

Kes ugutan tersebut merupakan kali kedua berlaku terhadap pucuk pimpinan tertinggi KOM selepas Noorul Ariffin ditembak di bahagian kaki kanan gara-gara tidak berpuas hati dengan satu lagi jawatan yang dimenangi sebelum ini iaitu Presiden Persatuan Olahraga Johor.

Noorul Ariffin yang mewakili Karim berharap pihak polis akan melakukan siasatan terperinci dan menyelesaikan kes ini secepat mungkin.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0801&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3hXC5N2DQ Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment