Ad

Tuesday, 7 July 2015

Harimau Muda C makin menyengat

Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH

HASSAN bangga dengan prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya selepas mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan yang mereka harungi di Slovakia.

SETELAH mencatat enam kemenangan berturut-turut pada aksi perlawanan persahabatan di Slovakia dengan yang terbaharu menewaskan Inter Dubravka 2-0 kelmarin, skuad Harimau Muda C kendalian Hassan Sazali Mohd. Waras tetap merendah diri.

Mereka belum mahu men­dabik dada kerana banyak lagi pengalaman yang perlu mereka harungi dalam usaha menjadikan skuad muda negara ini sebuah pasukan mantap.

Menurut Hassan, perja­la­­nan anak-anak buah ma­sih jauh, namun mereka perlu komited mem­persiap­kan diri bagi menghadapi kejohanan sebenar iaitu pusingan kelayakan Kejuaraan Bola Sepak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bawah 19 tahun (B-19) 2016 nanti.

“Setakat ini, para pemain telah mempamerkan prestasi yang memberangsangkan selepas mencatat beberapa kemenangan se­panjang siri aksi persahabatan di bumi Slovakia.

“Bagi saya, masih terlalu awal untuk memperkatakan bahawa pasukan ini sudah bersedia sepenuh­nya untuk menghadapi pusi­ngan kelayakan Piala SFC B-19 nanti tetapi kejayaan yang diraih di Slovakia ini adalah hasil yang positif bagi mengharungi aksi pusingan kelayakan nanti.

“Kami hanya mempunyai tempoh dua bulan untuk membentuk pasukan yang mantap termasuk merancang taktikal yang sesuai serta selesa buat semua pemain.

“Saya berharap segala pengalaman yang mereka peroleh di Slovakia dipergunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan pres­tasi masing-masing,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Hassan menyifatkan skuad kenda­li­annya telah menggunakan segala kelebihan yang ada untuk menewaskan pa­sukan lawan.

“Saya menggunakan se­pe­nuhnya kelebihan yang ada pada para pemain termasuk mendedahkan mereka dengan corak permainan hantaran pendek serta gaya permainan pantas. Mereka telah mem­bukti­kan kemampuan ma­sing-masing dan ini pe­tanda baik ke arah menjadikan mereka sebuah pa­su­kan lebih berdaya saing.

“Selain itu, saya juga menggunakan semua pemain dalam semua per­lawa­nan yang kami harungi setakat ini bagi menilai ke­le­­bihan mahupun kelemahan yang ada pada setiap pemain,” ujarnya.

Tambahnya, pada perlawanan tersebut, Muham­mad Jafri Firdaus Chew muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-57 dan minit ke-63 membolehkan skuad B-19 negara meraih kemena­ngan keenam berturut-turut selepas tewas pada aksi sulung bulan lalu.

“Penyerang berusia 18 tahun itu juga merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan enam gol setakat ini daripada tiga perlawanan yang dia harungi,” katanya.

Setakat ini, Harimau Muda C telah berjaya me­re­kodkan enam kemena­ngan dan satu kekalahan daripada tujuh aksi perlawanan dan malam ini mereka akan menentang skuad bawah 19 FKM Nove Zamky.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0707&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3fDPWkUok Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment