Ad

Sunday 12 July 2015

Fatehah kutip emas kedua


 

Fatehah kutip emas kedua
13 Julai 2015 1:07 AM
KUALA LUMPUR – Kayuhan Fatehah Mustapa semakin cemerlang untuk dia menokok satu lagi pingat emas apabila memenangi acara pecut wanita dalam kejohanan berbasikal Piala Trek Jepun Siri Kedua semalam.

Fatehah Mustapa meraih emas kedua di Jepun apabila memenangi acara pecut dalam Piala Trek Jepun Siri Kedua semalam.
Pelumba berusia 26 tahun itu, yang sebelum ini mengharumkan nama negara apabila menggondol dua emas menerusi acara pecut dan keirin dalam Piala Trek Jepun Siri Pertama Jumaat lalu, mengakui kemenangan tersebut sangat berharga kepadanya selepas dia berehat panjang daripada sebarang kejohanan.
“Memang saya mahu memenangi acara pecut pada hari ini (semalam). Sebelum ini saya terpaksa berehat panjang setelah pulang daripada Kejohanan Trek Dunia di Paris Februari lalu.
“Dan kejayaan saya di sini telah menyuntik semangat saya untuk terus mempamerkan aksi terbaik,” katanya, yang merupakan wanita pertama negara meraih pingat dalam Sukan Asia setelah menang perak dalam acara keirin di Incheon, Korea Selatan September tahun lalu.
Pelumba kelahiran Terengganu itu dan skuad berbasikal negara di kejohanan itu akan pulang ke tanah air hari ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri sebelum memulakan semula latihan pada Ahad ini.
“Selesai sudah Piala Asia di Jepun. Menang dua emas dalam acara pecut dan satu lagi daripada keirin. Alhamdulillah, sekarang pulang untuk menyambut Hari Raya kemudian sambung semula kerja pada Hari Raya ketiga. Selamat berpuasa dan selamat Hari Raya semua,” katanya menerusi akaun Facebook.
Kejayaan Fatehah semalam hadir selepas rakannya Azizulhasni Awang merangkul emas acara keirin kelmarin.
Azizulhasni berkata: “Alhamdulillah saya berjaya meraih emas dalam acara kegemaran saya pada hari ini (kelmarin). Ada banyak perkara yang baik berlaku pada tahun ini dan saya berasa sangat gembira dengan kemenangan ini.
“Walaupun saya terlepas untuk menduduki tempat pertama pada Jumaat lalu (kejohanan siri pertama) di­sebabkan tidak diberi ruang dan terperangkap di bahagian dalam hingga menuju ke garisan penamat, namun saya telah belajar untuk tidak melakukan kesilapan sama.”
Kedua-dua pelumba itu memiliki peluang cerah untuk layak ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil andainya momentum tersebut terus dikekalkan.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/berbasikal/fatehah-kutip-emas-kedua-1.113444#sthash.1OZQo6Bb.dpuf

No comments:

Post a Comment