Ad

Sunday, 12 July 2015

Pemain muda negara sekadar jaguh Liga M - Dollah


 
DOLLAH (tengah, belakang) beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyertai program Klinik Bola Sepak 'One Goal' di Padang Bola Sepak DBKL Jinjang Utara hari ini.- Foto BERNAMA KUALA LUMPUR: Pemain bola sepak muda negara hanya sekadar menjadi jaguh dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) kerana setiap kali diketengahkan di kejohanan antarabangsa, mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik. Ketua jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh, berkata disebabkan itu, beliau terpaksa membariskan pemain lama yang mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa serta menunjukkan prestasi yang konsisten.

       "Saya sendiri inginkan pemain-pemain muda tetapi apa yang saya lihat selama ini, bila kita panggil (untuk mewakili skuad kebangsaan), mereka tidak dapat beraksi dengan cemerlang pada perlawanan sebenar dan nampak gugup. "Kita ketandusan pemain yang pernah beraksi di peringkat antarabangsa. Dalam liga tempatan memang bagus, tapi bila pergi ke peringkat antarabangsa, kita nampak ada masalah, sebab corak permainan mereka berbeza," katanya ketika ditemui pemberita pada Kempen 'Football Coaching Clinic for the 'One Goal' di Padang Bola Sepak Jinjang Utara, dekat sini, hari ini.

       Katanya barisan kejurulatihan sentiasa membuat pemantauan terhadap perlawanan liga tempatan sebelum memanggil pemain terbabit menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, namun prestasi mereka berbeza apabila beraksi pada pertandingan antarabangsa sehingga menimbulkan tanda tanya kepada peminat bola sepak tanah air. Sementara itu, Dollah berkata usaha-usaha pembangunan bakat di peringkat akar umbi perlu diteruskan dan dipertingkatkan untuk melahirkan bakat-bakat muda supaya masa depan bola sepak negara terjamin. "Saya nampak satu pembangunan yang baik dan percaya kita akan kekalkan benda ini dan teruskan untuk menggilap bakat-bakat muda untuk masa depan bola sepak Malaysia. Sebenarnya kita kena teruskan perkara ini sehingga tercapai matlamatnya, bukan setakat separuh jalan saja.

    "Bola sepak negara sekarang ini semakin merudum, bakat-bakat baharu diharap dapat meningkatkan prestasi," katanya. Matlamat utama Kempen 'One Goal' itu adalah menggunakan kuasa bola sepak untuk meningkatkan kesedaran malnutrisi di Asia, yang mana lebih 400,000 kanak-kanak di Malaysia dianggarkan tidak dapat mengikuti gaya hidup sihat dan aktif akibat masalah ketidakseimbangan makanan. Sebanyak 50 kanak-kanak menghadiri klinik kejurulatihan selama empat jam itu anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), World Vision International (WVI) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - Bernama


SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/67488

No comments:

Post a Comment