DOLLAH Salleh (kanan) pada sidang media perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia (PM) menentang Liverpool FC di Ballroom Saujana Hotel, Subang sambil diperhati Ketua Jurulatih Liverpool, Brendan Rodgers (kiri). - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih negara, Dollah Salleh memuji pemain muda dalam skuad Pilihan Malaysia (PM) yang menampilkan aksi cemerlang untuk mengikat kelab gergasi England, Liverpool, 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi. Mengambil contoh penyerang skuad Harimau Muda B, S. Kumaahran, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata, pemain berkenaan menampilkan persembahan terbaiknya biarpun diturunkan pada babak kedua perlawanan itu.
Oleh itu, katanya, aksi pemain itu memberi amaran kepada pemain senior supaya memberikan usaha yang lebih baik untuk memburu tempat dalam skuad negara bagi menghadapi baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2009 yang turut menjadi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018.
"Saya tidak menjangka pemain itu bermain dengan sungguh baik walaupun diturunkan pada babak kedua perlawanan. "Bagi saya, semua pemain perlu berjuang untuk menempah tempat dalam skuad negara," katanya selepas perlawanan itu. Dollah juga bangga dengan keputusan itu walaupun skuad bimbingannya mempunyai masa yang singkat untuk melakukan persiapan. Dalam aksi malam tadi itu, skuad bimbingan Dollah tidak mengecewakan hampir 50,000 penonton apabila mengejutkan Liverpool dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-12 menerusi penyerang import PKNS FC, Patrick Ronaldinho Wleh. Wleh menyempurnakan gol pendahulu itu apabila mengecewakan penjaga gol simpanan skuad The Reds, Adam Bogdan. Tersentak dengan jaringan itu, Liverpool memperkemaskan semula taktik dengan melakukan serangan bertali arus sebelum berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi rembatan deras pemain sayap berusia 19 tahun, Jordan Ibe. - BERNAMA
SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/69955
No comments:
Post a Comment