Ad

Thursday, 30 July 2015

Tiada jalan mudah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
KEMAMPUAN pemain tempatan perlu diberi keutamaan daripada mengambil pemain naturalisasi untuk beraksi dengan skuad kebangsaan. – Gambar hiasan

LANGKAH mengambil pemain naturalisasi untuk beraksi dengan skuad bola sepak kebangsaan belum tentu membawa perubahan dalam pasukan. Ia sekadar jalan mudah dan tidak membawa kebaikan untuk jangka panjang.

Menyedari hakikat tersebut, pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim (gambar kecil) dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak yakin kehadiran pemain-pemain naturalisasi ini mampu membawa kejayaan kepada pasukan negara.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengkaji dan mencari punca kemerosotan bola sepak negara yang semakin kurang menyengat di pentas antarabangsa kebelakangan ini.

“Pada pandangan saya, kelemahan paling ketara ialah kegagalan kita mencungkil bakat baharu, sedangkan begitu ramai golongan remaja berbakat dalam sukan bola sepak di seluruh negara.

“Kerja-kerja pembangunan pada peringkat akar umbi tidak diberi keutamaan dan pemain muda pula tidak diberi pendedahan yang mencukupi bagi mengembangkan bakat yang ada pada mereka.

“Saya lihat modul sukan sekarang sudah tidak sama seperti 30 atau 40 tahun yang lalu. Dulu, pembangunan pada peringkat akar umbi cukup penting bagi memastikan aliran pemain sentiasa berjalan dengan lancar.

“Justeru, saya tidak nampak kemasukan pemain naturalisasi akan memberikan manfaat jangka panjang kepada bola sepak negara dan saya tidak menyokong cadangan itu. Jadi, saya fikir lebih baik FAM memikirkan cara untuk memperkasakan lagi pembangunan peringkat akar umbi berbanding mengambil pemain import.

“Mengapa perlu menggunakan tenaga asing? Jika kita terlalu banggakan dengan Brazil, mereka (Brazil) pun gagal menjuarai Piala Dunia 2014 dan apa yang saya maksudkan sekarang adalah kita perlu yakin dengan keupayaan anak-anak tempatan.

“Saya fikir kaedah ini telah merosakkan suasana bola sepak dunia dan memetik kata-kata legenda Brazil, Pele, ‘bola sepak moden sudah hilang serinya’. Jadi, saya kekal berpendirian bahawa naturalisasi bukan penyelamat bola sepak Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, pemain asing yang berhasrat untuk beraksi dengan negara luar merupakan kumpulan pemain yang tidak berpeluang mewakili negara kelahiran mereka, yang bermakna bahawa mereka adalah pemain yang kurang berkualiti.

“Kalau FAM mengambil pemain ‘buangan’ di negara kelahiran mereka itu beraksi dengan skuad kebangsaan, ia tidak akan membawa hasil lumayan kerana mereka bukan pemain yang berkualiti. Pemain yang berkualiti tidak akan dilepaskan oleh negara mereka untuk beraksi dengan pasukan lain,” tegas Kay Kim.

Menurutnya, apa yang penting sekarang ialah FAM perlu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan yang akan menguntungkan bola sepak negara untuk jangka panjang.

“Persatuan peringkat negeri juga perlu memainkan peranan agar bakat yang ada di negeri masing-masing dididik sebaik mungkin,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0730&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3hNjsGilC Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment