Ad

Tuesday, 14 July 2015

Harimau Selatan bedil Selangor


Oleh SHARKAWI LONDING
 
AMRI menjaringkan gol pembukaan Johor DT pada aksi menentang Selangor di Larkin malam tadi yang berkesudahan Harimau Selatan menang 3-1.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) terus memberi tekanan kepada pendahulu Liga Super, Pahang apabila meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan menghimpit Pahang dengan perbezaan dua mata selepas mengharungi 15 perlawanan setakat ini.

Skuad kendalian Mario Gomez itu kini mengumpul 31 mata, manakala Pahang yang terus kekal selaku pendahulu, memperoleh 33 mata.

Pada aksi di Larkin malam tadi, Johor DT yang tewas 1-6 kepada Borussia Dortmund minggu lalu, tampil dalam kelas tersendiri, seolah-olah mahu menghadiahkan kemenangan itu kepada bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah memainkan peranan penting memulihkan kegemilangan bola sepak Harimau Selatan itu.

Sebaik perlawanan bermula, tuan rumah tampil dengan corak permainan yang pantas dan menekan pasukan lawan dengan asakan bertali arus dari setiap penjuru padang.

Hasilnya, mereka dihadiahkan gol pembukaan seawal minit ke-10 menerusi Mohd. Amri Yahyah yang menyudahkan dengan baik lorongan daripada Luciano Figueroa.

Begitupun, kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Andik Vermansah pada minit ke-45.

Namun beberapa saat selepas itu, Johor DT kembali berada di depan menerusi tandukan Figueroa bagi membolehkan mereka mendahului 2-1 sebaik tamat aksi separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, rentak permainan nampak seimbang dan mereka saling melancarkan serangan, namun penyudah yang lemah menafikan usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan.

Begitupun, Johor DT lebih bernasib baik apabila dihadiahkan sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-77, Figueroa yang mengambil sepakan tersebut menyempurnakannya dengan baik, sekali gus menghadiahkan kemenangan 3-1 buat skuad Harimau Selatan itu.

Dengan kemenangan itu, Johor DT masih kekal menghuni tangga kedua dengan 31 mata, manakala Selangor di tangga kelima, mengumpul 24 mata.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0714&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3fryYqThm Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment