Ad

Monday 27 July 2015

Fitri kembali ke padang hoki

Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
MOHD. FITRI (kiri) akan kembali beraksi dalam kempen musim baharu Liga Premier MHL bersama skuad THT selepas menyepi selama tujuh bulan.

BEKAS perancang skuad hoki negara, Mohd. Fitri Saari kembali turun padang bersama Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk mengharungi saingan Liga Premier Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini selepas tujuh bulan menyepi.

Bekas kapten skuad remaja kebangsaan yang meraih tempat keempat pada kejohanan Piala Du­nia Remaja 2013 itu sudah tidak sabar untuk membuktikan kepakarannya masih belum berkarat meskipun te­lah lama menyepi daripada beraksi.

“Semangat saya mahu bermain cukup tinggi kerana tidak sabar untuk menonjolkan kebolehan yang ada selepas lama berehat daripada bermain pada peringkat tertinggi sebelum ini. Saya harap mampu menyinar pada aksi pembukaan MHL iaitu Piala Sumbangsih (menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur, Ahad ini).

“Tiada sebarang sasaran peribadi, saya hanya fokus untuk melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan bersama THT. Saya tidak pandang apa-apa anugerah. Jika dapat, itu rezeki buat saya.

“Paling penting ialah saya mahu membantu THT mempertahankan kejuaraan berganda musim lalu. Menang memang senang tetapi untuk pertahan itu susah. Kami perlu kerja lebih kuat berbanding tahun lepas,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Fitri, 22, yang merupakan adik kepada penyerang skuad kebangsaan, Faizal Saari, 24, sebelum ini memilih untuk tidak kembali ke pangkuan pasukan hoki negara sejak Februari lalu gara-gara masalah keluarga.

Kali terakhir Fitri beraksi di pentas antarabangsa ialah ketika membantu Malaysia menjuarai Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Singapura pada Januari lalu.

Kini, Fitri kembali untuk menggalas misi skuad hoki negara selepas menyelesaikan urusan peribadi.

Bagaimanapun, terdapat keraguan terhadap kecergasan Fitri selepas pemain itu lama menyepi sebelum ini, namun pemain kelahiran Kelantan itu mengaku tidak risau berhubung perkara tersebut.

Ini kerana Fitri mengakui, dia ba­nyak melakukan aktiviti kecergasan selain menjalani latihan secara peribadi dengan jurulatih THT, Sarjit Singh.

“Saya tidak risau mengenai masalah kecergasan. Saya rasa (kecergasan) masih baik kerana banyak melakukan aktiviti lain dalam tempoh tujuh bulan sebelum ini.

“Saya cuma risau berhubung persefahaman dalam pasukan dan lima pemain import kerana mereka baru sampai. Kami perlu banyakkan latihan untuk mencari keserasian,” jelas Fitri yang turut berminat untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selepas ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3h8762GrI Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment