Persatuan negeri, kelab patut
lepaskan pemain mereka – Dollah
FADHILUL IZMEL ISHAK DAN
ROZAIDI ZULKIFLI | 25 Julai 2015 1:27 AM
PATRICK RONALDINHO (kiri)
meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan ketika membantu Pilihan
Malaysia mengikat Liverpool 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional,
Bukit Jalil semalam.
KUALA LUMPUR - Selepas berdepan
pelbagai kesukaran dalam persiapan menghadapi Liverpool, pengendali Pilihan
Malaysia, Dollah Salleh percaya kejayaan mengikat gergasi Liga Perdana Inggeris
itu 1-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam membuka mata banyak pihak yang
sebelum ini memperlekehkan perlawanan tersebut.
Lebih penting lagi kata Dollah,
peluang berkongsi padang bersama pemain bertaraf antarabangsa Reds memberi
pengalaman berguna buat semua pemain liga tempatan, terutama pemain Malaysia
untuk meningkatkan skil mereka.
“Saya memang tidak sangka kami
mampu memberi tentangan sengit kepada Liverpool walaupun hanya diberi tempoh
yang sangat singkat untuk mempersiapkan pasukan.
“Apa yang penting daripada
perlawanan ini, saya harap ia akan membuka mata pihak pengurusan persatuan bola
sepak negeri dan kelab untuk melepaskan pemain mereka dalam perlawanan seperti
ini pada masa akan datang.
“Peluang untuk beraksi dan
menimba pengalaman bersama pemain antarabangsa tidak selalunya hadir, mereka
yang beraksi malam ini telah meraih pengalaman yang sangat berguna,” kata
Dollah.
Dollah turut memuji prestasi
anak-anak buahnya yang menunjukkan semangat juang tinggi, malah terlebih dulu
membolosi gawang lawan menerusi jaringan pantas Patrick Ronaldinho pada minit
ke-13.
Sementara itu, tonggak
pertahanan Pilihan Malaysia, Thiago Junior Aquino gembira kerana menjadi watak
utama bagi mematahkan serangan Liverpool.
Pertahanan Perak itu percaya,
kebanyakan peminat bola sepak Malaysia tentu menjangkakan skuad bimbingan
Dollah akan dibelasah di Bukit Jalil.
Namun, mereka membuktikan
perkara itu tidak berlaku, sebaliknya telah memberi satu persembahan terbaik.
“Sudah pasti kami gembira
dengan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan pada malam ini apabila benteng
pertahanan berjaya mematahkan beberapa percubaan berbahaya daripada pasukan
pelawat.
“Saya tahu dan sedar peminat
yang hadir majoritinya menyokong Liverpool dan mereka mahu melihat gawang gol
kami dibolosi.
“Bagaimanapun saya gembira
kerana tidak membenarkan perkara itu terjadi.
“Saya ingin mengucapkan terima
kasih kepada jurulatih (Dollah) kerana memberi peluang untuk saya beraksi
menentang Liverpool yang merupakan antara kelab gergasi di dunia.
“Terima kasih juga kepada
rakan-rakan sepasukan kerana memberi kerjasama dengan baik kepada saya,”
katanya kepada pemberita sebaik sahaja tamat perlawanan di sini semalam.
Dalam perlawanan tersebut,
Thiago dilihat menjadi watak penting di bahagian pertahanan dengan mematahkan
beberapa percubaan berbahaya daripada Reds.
Malah, dia juga dilihat
menunjukkan keserasian yang bagus bersama pemain import Terengganu, Vincent
Bikana.
“Semua orang tahu Liverpool
sedang melakukan jelajah pramusim mereka, tetapi kami tidak hanya menjadikan
perlawanan ini sekadar aksi persahabatan.
“Kami menimba pengalaman
daripada perlawanan tersebut kerana lawan kita terdiri daripada pemain bertaraf
dunia.
“Saya rasa, bagi lagi kelemahan
dan permainan kami yang boleh dipertingkatkan dan perlawanan ini sangat
membantu,” katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-kami-buka-mata-semua-8217-1.116686#sthash.JAl4ukuX.dpuf
No comments:
Post a Comment