Pemain Johor DT terbeban
SAFIQ berharap rakan sepasukan
dapat mengekalkan kekuatan mental dan fizikal biarpun berdepan jadual liga dan
Piala AFC yang padat bulan depan.
PEMAIN Johor Darul Takzim
(Johor DT) kini menggalas tanggungjawab sukar bagi menghadapi tujuh baki
saingan Liga Super yang begitu padat ditambah dengan saingan suku akhir Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang South China bulan depan.
Kapten Harimau Selatan, Safiq
Rahim mengakui tanggungjawab tersebut sememangnya menjadi cabaran getir dalam
menerajui pasukan dan pada masa sama berharap setiap pemain tidak melakukan
sebarang kesilapan kecil semasa dalam perlawanan.
“Saya akui bulan Ogos ini
menjadi laluan sukar kepada kami memandangkan jadual saingan liga yang padat
dan suku akhir Piala AFC. Tekanan ini bukan terletak kepada pasukan kami
sahaja, malah pasukan lain turut merasakan bahang sama.
“Bagaimanapun, apa yang menjadi
penentu kelak adalah kekuatan mental dan fizikal setiap pemain. Saya berharap
mereka akan terus mengekalkan konsentrasi dan kualiti ketika di padang, selain
tidak goyah dengan sebarang tekanan luar," katanya ketika dihubungi di
Johor Bahru semalam.
Safiq memberitahu, pasukannya
kini berada di dalam optimum setelah berehat daripada saingan liga berikutan
Hari Raya Aidilfitri beberapa minggu lalu.
“Saya rasa setiap pemain tidak
sabar untuk beraksi dan sesi latihan telah berjalan seperti biasa. Saya
berharap pasukan kami mampu mencipta sejarah pada tahun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyerang
berbisa Johor DT, Safee Sali turut mengakui perkara sama dan berharap
persediaan yang mencukupi menjadi perkara pokok dalam menentukan kualiti
permainan dapat dipamerkan ke tahap optimum.
“Saya perlu menyatakan ia
sangat sukar untuk kita. Seperti menghadapi lapan peperiksaan akhir dalam masa
sebulan. Siapa tidak mahu menjadi pemenang? Ini adalah tujuh perlawanan yang
akan menentukan juara liga.
“Oleh itu, latihan yang cukup,
pemulihan yang baik, pemakanan yang betul dan tenaga serta rehat yang
secukupnya adalah fokus utama kami pada bulan hadapan,” katanya.
Johor DT yang kini berada di
tangga kedua dengan 31 mata di bawah pendahulu Liga Super, Pahang bakal
memulakan saingan pada 1 Ogos ini menentang Sarawak.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3h8Ca107M
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment