WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Julai 2015
Langkah tepat turunkan pemain
muda
Mohamad Nasir Basharuddin
(kiri) pemain muda negara yang beraksi cemerlang ketika berdepan Liverpool.
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak
Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan taktikal Dollah
Salleh mengenengahkan pemain muda ketika beraksi menentang Liverpool, malam
kelmarin, sebagai tindakan tepat, lapor KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB.
Menurut beliau, seandainya
usaha tersebut dapat diteruskan dan mendapat tumpuan sewajarnya, tidak mustahil
mutu bola sepak tanah air, termasuk Negeri Sembilan akan melangkah ke era
baharu.
“Banyak budak-budak (pemain)
kita yang bukan regular masa lawan Liverpool. Tapi, mereka bermain secara
bermati-matian.
“Beri peluang kepada anak-anak
muda untuk buktikan kebolehan masing-masing di peringkat negeri atau negara
pada masa depan. Bakat mereka perlu kita gilap,” katanya ketika ditemui pada
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di rumahnya di Kampung Tanjung, Rantau,
Seremban, semalam.
Selain itu, Mohamad berkata,
setiap pemain mesti ada semangat yang tinggi untuk mempamerkan aksi terbaik
semasa di atas padang.
“Bola sepak bukanlah rumit.
Sesiapa pun boleh main. Tapi, kadang kala jadi susah sebab memang tidak mahu
main (sungguh-sungguh). Depan gawang yang tidak ada penjaga gol pun, gagal buat
jaringan.
“Jadi, semangat ini perlu
dibina dalam kalangan pemain muda. Kena tebal macam zaman dulu. Walaupun cuma
dibayar RM10, RM20 sekali main pada masa itu, mereka tetap bersemangat,”
katanya.
Justeru, beliau berkata, memang
sudah tiba masanya skuad Harimau Malaya menampilkan muka baharu untuk mewakili
negara.
“Cukuplah. Lebih baik dapatkan
pemain baharu. Latih mereka betul-betul dan tanam semangat untuk menaikkan nama
negeri dan negara. Itu yang kita perlu buat dari sekarang.
“Tidak usahlah kita cuba
memperbaiki labu yang ditebuk tikus. Apa yang rosak, tidak akan elok lagi.
Macam beras sudah menjadi antah. Lupakanlah antah itu. Saya tidak menuduh
apa-apa, tapi inilah kenyataannya,” katanya.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE
26.7.2015
No comments:
Post a Comment