23 Julai 2015 12:47 AM
JURULATIH Pilihan Malaysia,
Dollah Salleh berjabat tangan bersama Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers pada
sidang akhbar khas di Hotel Saujana, Subang, semalam.
KUALA LUMPUR – Aksi lebih
bertenaga dan permainan yang tersusun dituntut pengendali Pilihan Malaysia,
Dollah Salleh bagi menghadapi tentangan kelab bola sepak Liga Perdana Inggeris,
Liverpool dalam perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Stadium
Nasional Bukit Jalil, esok.
Tuntutan itu dibuat kerana
jurulatih tersebut sedar, sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan anak-anak
buahnya, bakal mengundang padah yang mungkin menyebabkan gawang pasukannya akan
dibedil oleh barisan penyerang Liverpool yang diketuai oleh Danny Ings, Rickie
Lambert dan Divock Origi.
“Saya berharap dalam pertemuan
menentang Liverpool nanti kami dapat melakukan lebih baik berbanding aksi
ketika bertemu Spurs, malah diharapkan pemain saya dapat memberi tentangan
sengit kepada pihak lawan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas
menjelang aksi persahabatan tersebut, di sini semalam.
Sewaktu menentang Tottenham
Hotpurs di Stadium Shah Alam pada 27 Mei lalu, Pilihan Malaysia hanya tewas
tipis 1-2.
Menurut Dollah, beliau sedar
hakikat untuk meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut merupakan satu misi
sukar yang dilihat tidak mampu untuk digalas para pemainnya.
Jelasnya, apa yang diharapkan
adalah skuad skuad bimbingannya itu masih dapat memberikan tentangan sengit
kepada Liverpool yang dibarisi pemain-pemain berkelas dunia.
“Saya tahu Liverpool berada
dalam keadaan terbaik, jadi kami tidak boleh leka dalam perlawanan itu nanti
dan walaupun kami hanya dapat memberi tumpuan pada sesi latihan dalam tempoh
yang singkat, saya berharap pemain dapat melakukan sesuatu pada pertemuan itu
kelak.
“Saya juga memperkuatkan pasukan
dengan pemain yang berkualiti. Kami telah beraksi dengan baik menentang Spurs
dan harapan adalah cukup tinggi untuk mengulangi aksi sama apabila menentang
Liverpool.
“Kelab bola sepak Inggeris
selalunya sukar untuk ditewaskan tetapi fokus kita adalah memberi pendedahan
sebaik mungkin kepada pemain kita,” ujarnya.
Malah, jurulatih skuad Harimau
Malaya itu juga menyuarakan rasa leganya kerana para pemain yang dipanggil
menyertai skuad Pilihan Malaysia semakin meningkat tahap kecergasan mereka,
walaupun baru sahaja pulang daripada bercuti.
Pada pertemuan esok, Dollah
menyenaraikan lima pemain import yang mewarnai kancah Liga Super seperti
pertahanan Terengganu, Vincent Bikana, penyerang PKNS FC, Patrick Ronaldinho,
Zah Rahan Krangar (Felda United) dan dua pemain Perak, Charles Chad Souza serta
Thiago Junior Aquino.
Untuk rekod, empat tahun lalu
sewaktu kunjungan kali pertama The Reds ke Malaysia, menyaksikan Liverpool
membenam skuad bimbingan Datuk K. Rajagopal 6-3 di Stadium Nasional Bukit
Jalil.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/dollah-tuntut-aksi-bertenaga-1.115929#sthash.1QCt2PPa.dpuf
No comments:
Post a Comment