Ad

Friday 10 July 2015

Kekal atau singkir

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

DOLLAH memiliki aura tersendiri tetapi dia tidak memiliki barisan pemain lengkap untuk membentuk skuad yang mantap.


PERSOALAN berhubung masa depan barisan jurulatih yang mengendalikan skuad bola sepak negara bakal terjawab pada mesyuarat Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Antara lain, mesyuarat tersebut dilaporkan akan membincangkan mengenai kedudukan barisan jurulatih skuad negara ketika ini iaitu Dollah Salleh (Harimau Malaya), Datuk Ong Kim Swee (skuad Bawah 23) serta pengendali Harimau Muda, Razip Ismail.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mendedahkan bahawa kedudukan ketiga-tiga jurulatih itu bakal diputuskan sebaik ahli Exco FAM mengadakan mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Jika mengambil kira prestasi buruk skuad bola sepak negara di pentas antarabangsa kebelakangan ini, ramai yang mendesak agar FAM perlu membuat perubahan, namun tindakan tersebut tidak boleh dibuat dengan sewenang-wenangnya kerana FAM perlu mendapat pandangan daripada semua pihak dalam badan induk sukan bola sepak negara ini.

Memang diakui, prestasi skuad negara di pentas antarabangsa sangat mengecewakan, lebih-lebih lagi skuad senior, Harimau Malaya yang dibelasah 6-0 oleh Palestin serta seri 1-1 dengan Timor Leste pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil baru-baru ini.

Begitu juga prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buah Kim Swee yang tersingkir di peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA di Singapura bulan lalu.


KIM SWEE memiliki rekod cemerlang sebelum ini walaupun dia gagal membawa skuad muda negara melepasi saingan peringkat kumpulan pada Sukan SEA 2015.

Apa yang pasti, Tengku Abdullah sendiri telah meluahkan kekecewaannya terhadap pencapaian skuad Harimau Malaya, namun tidak menyatakan secara terbuka sama ada mahu merombak atau terus memberi kepercayaan kepada Dollah menerajui skuad senior negara itu bagi merealisasikan misi layak ke Piala Asia 2019.

Melihat senario semasa, cadangan untuk menukar jurulatih secara drastik mungkin tidak sesuai kerana ia tidak akan memberi jaminan bahawa prestasi skuad negara akan berubah.

Lagipun, skuad senior negara perlu mengharungi dua aksi kelayakan iaitu menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi pada September depan.

Bagi Kim Swee pula, dia sudah menghantar laporan prestasi skuad Sukan SEA negara kepada pihak FAM dan ia bakal dibincangkan pada mesyuarat hari ini.

Kim Swee kini sudah mula dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super seperti Sarawak, Kelantan dan Selangor.

“Buat masa ini, saya tidak boleh beri komen apa-apa dan kontrak saya bersama FAM masih ada sehingga Disember depan. Jadi, saya serahkan perkara ini kepada FAM untuk buat keputusan,” jelas Kim Swee.

Apa pun, keputusan berada dalam tangan FAM dan apa juga keputusan mengenai kedudukan jurulatih terbabit akan diketahui hari ini.

Malaysia kini menghuni ranking ke-168 dunia berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kelmarin.



sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0711&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3fWk6yW8a

Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment