Ad

Tuesday 14 July 2015

Pemain wajib lapor diri

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
INILAH barisan kemungkinan skuad Liverpool yang akan beraksi menentang Pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 24 Julai ini.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan, pemain-pemain yang dipanggil mewakili skuad kebangsaan wajib melaporkan diri kecuali atas masalah-masalah tertentu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, pemain-pemain ini harus mengikut arahan kerana tugasan dengan skuad kebangsaan ini tertakluk di bawah Statut FAM yang mewajibkan kesemua pemain hadir melapor diri pada tarikh yang telah ditetapkan.

Sekiranya gagal berbuat demikian tanpa alasan yang kukuh, mereka bakal didenda atau berdepan hukuman penggantungan.

Pemain-pemain yang mengalami kecederaan serius diberi pengecualian.

Menurut Hamidin, majikan iaitu persatuan negeri mahupun kelab tidak harus menghalang mana-mana pemain untuk menyertai kem latihan pasukan kebangsaan.

“Mereka wajib lapor diri, sama ada terpilih atau sebaliknya. Pemain-pemain yang mengalami masalah kecederaan serius sahaja mungkin dikecualikan daripada menyertai kem latihan pasukan kebangsaan.

“Tiada majikan boleh menghalang mereka untuk bersama pasukan kebangsaan kerana ini adalah tugasan untuk negara, malah Statut FAM sangat jelas iaitu mana-mana pemain yang dipilih mewakili skuad kebangsaan wajib melaporkan diri,” kata Hamidin ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kelmarin, pemain pertahanan Pahang, Mohd. Razman Roslan meluahkan hasratnya untuk tidak menyertai skuad kebangsaan menjelang pertemuan menentang kelab Liga Perdana England, Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada

24 Julai ini.

Selain Razman, pengurus Selangor, Amirudin Shari juga enggan melepaskan tiga pemainnya iaitu Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite menyertai skuad kebangsaan.

Begitu juga dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang tidak mahu melepaskan penyerang import sensasi, Dickson Nwakaeme kerana takut berdepan risiko kecederaan.

Dalam perkembangan sama, Hamidin berharap perkara ini tidak dijadikan sebagai satu isu memandangkan pertemuan menentang Liverpool merupakan medan buat Dollah untuk menyediakan pasukan mantap bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 nanti.

“Saya fikir Dollah mahu memanfaatkan peluang dengan menguji beberapa pemain yang dipanggil nanti untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.

“Ini penting buat Dollah dalam misi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 nanti dan saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Skuad Harimau Malaya yang tewas 0-6 kepada Palestin dan seri 1-1 bertemu Timor Leste pada aksi kelayakan tersebut bulan lalu, akan berdepan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September, diikuti pertemuan menentang Arab Saudi (8 September) bagi saingan peringkat Kumpulan A.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3fuJFyNf2 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment