RABU, 22 JULAI 2015 @ 8:05 PM
PETALING JAYA: Walaupun pernah
menolak beraksi bersama skuad Pilihan Malaysia, pemain pertahanan Pahang, Mohd
Razman Roslan tetap menjadi pilihan untuk mengemudi skuad itu menentang
Liverpool pada Jumaat ini. Ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh berkata,
pemilihan itu dibuat berdasarkan pengalaman pemain berusia 32 tahun itu
mengemudi skuad Tok Gajah yang kini menduduki tangga teratas Liga Super.
"Razman dipilih
berdasarkan pengalaman. Kalau kita tengok barisan pemain, Razman antara yang
nampak berpengalaman," katanya dalam sidang media bersama skuad Liverpool
hari ini. Mohd Razman memberi tamparan kepada Dollah apabila menolak panggilan
jurulatih itu untuk beraksi buat skuad Pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan
menentang Liverpool kerana merasakan dirinya tidak cukup bersedia untuk beraksi
dalam perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.
Bagaimanapun, pada hari sepatutnya
melaporkan diri di Wisma FAM, tonggak pertahanan Pahang itu kelihatan hadir
untuk menyertai latihan pusat bersama pemain lain yang disenaraikan dalam skuad
Pilihan Malaysia. Sebagai rekod, kali terakhir Razman dipanggil menyertai skuad
kebangsaan adalah pada September tahun lalu menentang Kemboja yang menyaksikan
Malaysia menang 4-1.
Mengenai perlawanan menentang The Reds,
Dollah berkata anak buahnya telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang sesi
latihan dan menampakkan semangat juang yang tinggi termasuk pemain import.
"Kalau diikutkan Liverpool nampak lebih bersedia tapi saya percaya dengan
bantuan pemain-pemain import dapat memantapkan lagi pasukan negara. "Saya
percaya semangat pemain adalah tinggi dan yang penting bagi kita kena tunjukkan
yang terbaik sebab kita bermain dengan pasukan antara yang terbaik,"
katanya. Kali terakhir pasukan Liverpool beraksi di Malaysia ialah pada tahun
2011 dengan menewaskan Harimau Malaya di bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal 6-3.
BERNAMA
SUMBER:
http://www.bharian.com.my/node/69496
No comments:
Post a Comment