Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
DOLLAH menyifatkan aksi
menentang Liverpool memberi peluang kepada pemain tempatan berdepan pemain
bertaraf dunia.
JURULATIH Harimau Malaya,
Dollah Salleh menyifatkan persatuan negeri mahupun kelab seharusnya memberikan
peluang kepada pemain-pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Kelmarin, skuad Pilihan
Malaysia berjaya mengejutkan wakil Liga Perdana England, Liverpool apabila
berjaya mengikat juara lima kali Eropah tersebut dalam aksi terakhir Jelajah
Asia 2015 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Keputusan itu sekali gus
membuktikan Dollah yang sebelum ini menerima tamparan selepas tidak mendapat
kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk memanggil Mohd.
Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan Robert Cornwaithe, masih memiliki magis
tersendiri dengan menggunakan pemain-pemain sedia ada.
Pada aksi itu, skuad Pilihan
Malaysia mendahului perlawanan menerusi bintang Selangor PKNS, Patrick
Ronaldinho Wleh pada minit ke-13 sebelum Jordon Ibe menyamakan kedudukan pada
minit ke-28.
Mengulas lanjut, Dollah
berharap persatuan negeri mahupun kelab memahami situasinya dalam memilih
pemain kerana perlawanan menentang jaguh dunia seperti Liverpool seharusnya
diberikan peluang kepada pemain-pemain tersebut.
“Biarpun saya berdepan masalah
beberapa pemain dalam senarai awal tidak dilepaskan pengurusan pasukan negeri
atau kelab, sekurang-kurangnya pemain yang saya ada ini berjaya menunjukkan
sesuatu pada perlawanan ini.
“Jadi saya harap, pihak
pengurusan pasukan perlu faham yang perlawanan seperti ini cukup memberi makna
besar buat seseorang pemain dan persatuan sepatutnya sedar kerana ini peluang buat
pemain mereka berdepan pasukan kelab luar dengan pemain bertaraf bintang,”
katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.
Kosmo! Ahad sebelum ini
melaporkan bahawa FAS menerusi pengurusnya, Amirudin Shari menegaskan bahawa
persatuan negeri itu memiliki hak untuk tidak melepaskan tiga pemain tersebut
memandangkan skuad Gergasi Merah dalam landasan terbaik untuk memburu kejuaraan
Liga Super yang berbaki tujuh perlawanan lagi.
Dalam perkembangan sama, Dollah
memuji karakter skuad kendaliannya yang mana bekas pengendali Pahang itu tidak
menolak cadangan untuk mengambil pemain-pemain naturalisasi dalam memperkuatkan
pasukan kebangsaan.
“Saya nampak pemain-pemain
tempatan kita dapat mengikut apa yang lima pemain import kita lakukan di atas
padang terutama Thiago Junior yang mengemudi barisan pertahanan dengan cukup
baik.
“Saya ingat pemain asing banyak
mengajar pemain tempatan, terutamanya Thiago di bahagian pertahanan. Jadi,
itulah sebab pemain-pemain import berjaya mengekang asakan lawan dan mereka
(pemain import dan tempatan) menunjukkan satu persembahan yang mantap.
“Diharapkan boleh (menggunakan
pemain naturalisasi). Sebenarnya, kelemahan kami adalah fizikal sebab itu kita
perlukan pemain asing. Kita tengok Thiago dan Bikana di bahagian pertahanan
yang mana mereka boleh mengekang pemain-pemain dunia,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3gwlqvDnJ
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment