Ad

Wednesday, 1 July 2015

India penentu nasib Malaysia


Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
 
ROSLAN (kanan) akan pastikan pintu gol skuad negara tidak dibolosi oleh penyerang India pada aksi suku akhir WHL awal pagi esok.

PERTEMUAN menentang India awal pagi esok bakal menjadi penentu sama ada impian Malaysia untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun depan menjadi kenyataan.

Bagi memastikan misi tersebut tercapai, Malaysia perlu menang ke atas India pada aksi suku akhir kempen Separuh Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium.

Penjaga gol skuad negara, Roslan Jamaluddin bertekad untuk memberikan prestasi terbaik bagi memastikan skuad negara meraih kemenangan ke atas juara Asia itu pada perlawanan getir tersebut nanti.


PARA pemain skuad hoki negara sudah bersedia untuk menyekat India dalam misi memburu tempat ke Sukan Olimpik 2016.

Roslan, 36, mengakui belum berpuas hati dengan persembahannya sepanjang kempen WHL kali ini gara-gara telah melepaskan sembilan gol dalam empat perlawanan awal peringkat Kumpulan B yang menyaksikan mereka menang 3-2 ke atas China, Ireland 4-2, kalah 0-2 kepada Belgium dan Great Britain 1-3.

"Secara peribadi, saya masih belum puas hati tetapi saya perlu menerima hakikat bahawa ia sebahagian daripada asam garam dalam sukan.

"Saya perlu nilai semula prestasi dalam empat perlawanan lalu, mana-mana kelemahan yang ada harus diperbaiki segera. Apa pun, saya akan beri prestasi terbaik pada aksi suku akhir nanti.

"Jadi, saya harap semua pemain dapat memberikan segala yang ada dan fokus sepenuhnya bermula dari sekarang kerana perlawanan dengan India ini sangat penting," katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan pasukan ranking kesembilan dunia itu, Malaysia berjaya mencatatkan kemenangan dramatik 3-2 sewaktu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, April lalu.

Seandainya Malaysia berjaya menumpaskan India di Stadium Hoki KHC Dragons, Brasschaat awal pagi esok, pasukan kendalian Tai Beng Hai itu akan menjamin satu slot untuk layak ke Rio tahun depan.

Sebagai rekod, Roslan merupakan satu-satunya pemain negara di Belgium ketika ini yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik iaitu di Sydney, Australia 15 tahun lalu.

Selain Roslan, dua anggota penting The Speedy Tigers ketika ini turut membarisi Skuad Olimpik 2000 iaitu pengurus pasukan, Stephen Van Huizen (sewaktu itu ketua jurulatih) dan penolong jurulatih, Nor Saiful Zaini (pemain) dan mereka sekadar mendapat tempat ke-11.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3edMrv1YJ Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment