Ad

Wednesday, 15 July 2015

Tinggal dalam rumah dipenuhi ‘sampah’

Kehidupan daif ibu bersama anak sejak dua tahun lalu
13 Julai 2015 2:00 AM
 JERANTUT 12 Julai – Sejak hampir dua tahun lalu, kehidupan Azmiah@Norzaitol Akmah Mus’od, 46, bersama anak-anaknya tidak ba­nyak diketahui oleh jiran-jiran di kawasan perumahan Lembaga Kemajuan Negeri Pahang (LKNP) Peringkat 4, di sini.
Dengan hanya pendapatan sekitar RM700 sebulan sebagai pekerja pencuci kontrak di dua tempat berasingan iaitu di pejabat agama dan masjid berdekatan, Azmiah tidak tahu kepada siapa hendak me­ngadu mengenai nasibnya.
Agak memeranjatkan apabila wanita yang mempunyai enam orang anak berusia 9 hingga 19 tahun itu didapati tinggal dalam timbunan kain, tilam usang, makanan kucing dan pelbagai barangan terbuang, umpama ‘sampah-sarap’ yang memenuhi rumahnya termasuk di ruang tamu dan dua buah bilik tidur.
Lebih menyedihkan apabila tandas serta bilik air yang sudah sekian lama tidak boleh digunakan, menyebabkan wanita itu dan anak-anaknya terpaksa menggunakan tandas di masjid berhampiran.
Namun, nasib Azmiah berubah secara mengejut apabila rombo­ngan ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) setempat diketuai Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris mengadakan program Ziarah Ramadan dari rumah ke rumah untuk menyampaikan bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan, semalam.
Ahmad Nazlan serta ahli KRT dan JPP agak terkejut apabila mendapati wanita itu bersama dua anaknya tinggal dalam timbunan ‘sampah-sarap’ tanpa sebarang pembelaan sewajarnya.
Namun agak bernasib baik apabila empat lagi anak Azmiah tinggal di asrama kerana mereka melanjutkan pelajaran.
Ekoran pendedahan tersebut, tidak sampai 24 jam, ahli-ahli KRT dan JPP setempat hari ini terus mengadakan gotong-royong secara agresif membersihkan rumah dan pekarangan rumah wanita itu.
Hasilnya, tidak sampai enam jam, rumah didiami Azmiah pulih dan lebih menceriakan apabila bilik air yang sekian lama rosak kini sudah dibaiki.
Azmiah juga diberikan katil, tilam, bantal, almari serta dapur serba baharu. Untuk menceriakan lagi ke­adaan sempena sambutan Aidilfitri, wanita itu bersama anak-anaknya dibawa membeli pakaian raya.
Azmiah ketika ditemui bersama anaknya, Siti Aleeya Amran, 9, memberitahu, dia sangat gembira dengan pertolongan pihak KRT dan JPP.
“Terima kasih kepada Ahli Parlimen. Memang selama ini saya tidak tahu hendak mengadu kepada siapa,’’ katanya ringkas namun tidak mahu menceritakan lebih lanjut perihal keluarganya.

- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/komuniti/tinggal-dalam-rumah-dipenuhi-8216-sampah-8217-1.113509#sthash.SelJFGDM.dpuf

No comments:

Post a Comment